WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

'BERTENANG... SAYA MASIH SOLO'

Bella mencetus spekulasi apabila memuat naik foto berpakaian pengantin di laman Instagram, pagi tadi


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Dua foto Bella Astillah menggayakan persalinan pengantin yang dimuat naiknya di Instagram, pagi tadi mencetuskan spekulasi dia sudah bertunang.

Ruangan komen di laman sosial Bella itu turut dibanjiri ucapan tahniah, malah ramai yang gembira apabila ibu kepada Mohamad Ayden Adrean, 3, dikatakan sudah menemui pengganti.

Enggan spekulasi berlarutan susulan kapsyen yang disertakan dalam foto terbabit, Bella, 25, memadam entri terbabit kerana bimbang disalah tafsir.

“Foto itu sebenarnya sebahagian daripada babak drama Cinta Belum Tamat Tempoh arahan Jamal Khan yang saya jayakan. Jangan pula ada yang membuat spekulasi mengatakan saya sudah menemui pengganti.

“Bertenang... Saya masih solo. Saya selesa sendiri dan mahu terlebih dahulu menikmati fasa ini kerana tiada tekanan,” katanya mengenai drama yang menjalani penggambaran sejak akhir Jun lalu.

Drama 16 episod terbitan Metrowealth Production Sdn Bhd (MIG) itu menggandingkan Bella dengan Nafiz Muaz, selain turut dibintangi Fendy Bakry.

“Saya hanya berlakon bersama produksi itu dan tidak menandatangani kontrak bernaung di bawah pengurusan mereka seperti yang disangka ramai.

“Memang pada awalnya, saya agak kekok berada di lokasi penggambaran kerana sudah lama tidak berlakon, apatah lagi membawa watak utama.

“Sebelum ini, saya hanya menjayakan watak pembantu, malah kali terakhir berlakon ketika zaman remaja dahulu. Tidak sangka, saya mendapat peluang untuk kembali mengasah bakat,” katanya.

Bella mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz pada 9 September 2016, tetapi berpisah pada 21 Mac lalu.

Sumber: Berita Harian