WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

SUFIAN, AMIRA CARI TITIK KESERASIAN

Sufian, Amira menyandar harapan kepada sentuhan Farouk dan Amylea menerusi Takkan Merubah


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Lebih sinonim dengan sentuhan Sirkhan dan Rinkarnaen yang menjulang namanya menerusi Di Matamu, Sufian Suhaimi kini beralih angin apabila mencuba lagu ciptaan Farouk Roman serta Amylea Azizan.

Usaha itu direalisasikan menerusi lagu duet bersama Amira Othman, Takkan Merubah yang turut menjadi runut bunyi filem Motif.

“Sebagai penyanyi, saya perlu mencari kelainan dalam persembahan. Saya tidak mampu lepaskan peluang berharga ini, tambahan pula sentuhan Farouk dan Amylea mempunyai magis tersendiri.

“Projek ini istimewa apabila saya dapat berduet dengan Amira. Dia sangat menyenangkan, malah membuat persediaan rapi sebelum kami melangkah ke studio rakaman,” katanya.

Mengakui lagu itu memberi cabaran yang tersendiri, terutama dalam mencari titik keserasian, Sufian berkata, proses rakaman Takkan Merubah mengambil masa lapan jam untuk disiapkan.

“Kami masuk studio pada 19 Ogos lalu untuk proses rakaman yang bermula jam 9 malam. Memandangkan ia kerjasama pertama saya dan Amira, kami perlu terlebih dahulu mencari titik keserasian.

“Biarpun mengambil sedikit masa, saya tidak kisah kerana setiap komposer mempunyai cara tersendiri untuk memastikan lagu yang dirakamkan memberikan kepuasan kepada semua yang terbabit,” katanya.

Sufian dan Amylea sebelum ini, pernah berkongsi pentas ketika bersaing pada kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke- 33, Februari lalu. Dia mempertaruhkan Di Matamu yang menobatkannya sebagai pemenang Persembahan Terbaik.

Amylea pula muncul bersama rakan duetnya, Kaer Azami mempersembahkan lagu Tak Pernah Hilang.

Sementara itu, mengulas penyertaannya dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Sufian berkata, dia terharu masih menjadi pilihan peminat untuk bersaing dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow, selain kategori online menerusi Lagu Paling Boom (Di Matamu).

“Berdasarkan impak dan kekuatan Di Matamu, saya hanya yakin dapat membolosi kategori Lagu Paling Boom. Tidak sangka pula, nama saya tersenarai dalam Top 5, Penyanyi Lelaki Popular DuitNow kerana saingan dalam kategori itu sangat sengit

“Saya anggap ini rezeki dan berterima kasih kepada kelab peminat, Sufianators yang sentiasa teguh di belakang dan setia mengundi saya untuk ABPBH 32,” katanya.

Sumber: Berita Harian