WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

REZEKI MURAH SELEPAS BERTUNANG

Keputusan Ain menamatkan zaman gadis ketika nama sedang memuncak membuka pelbagai peluang baharu


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Pelakon Ain Edruce, tidak terkesan dengan pandangan segelintir pihak yang menganggap keputusannya mendirikan rumah tangga ketika kerjaya sedang memuncak bakal menyekat rezeki.

Ain sebaliknya, bersyukur apabila rezekinya semakin murah, malah tidak menyangka keputusan mendirikan rumah tangga pada 13 Disember depan membuka pelbagai peluang baharu dalam kerjaya seninya.

“Ada segelintir pihak berpendapat, populariti dan nilai pasaran saya dalam industri hiburan akan jatuh apabila berkahwin kelak. Namun, setakat ini, segala-galanya berjalan dengan baik.

“Alhamdulillah, semakin banyak tawaran diterima selepas saya membuat keputusan mendirikan rumah tangga. Saya percaya, rezeki akan bertambah apabila mendirikan masjid.

“Saya juga tidak melihat status sebagai isteri menjadi penghalang untuk terus mencari rezeki dan mengukuhkan lagi nama,” kata pelakon yang menyerlah menerusi drama Kekasih Paksa Rela.

Ain yang bertunang dengan ahli perniagaan, Amirul Hafiz pada 22 Jun lalu turut mengakui, banyak perubahan yang berlaku, malah dia dan tunangannya semakin memahami antara satu sama lain.

“Kami hanya berkenalan setahun sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, jadi masih banyak yang perlu dipelajari supaya lebih memahami antara satu sama lain.

“Namun, saya bersyukur tunang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya saya. Alhamdulillah, kebelakangan ini, rezeki saya juga semakin bertambah,” katanya.

Turut mempunyai saluran YouTube sendiri, Ain berkata, dia selesa memanfaatkan platform itu untuk mendekatkan lagi diri dengan peminat.

“Saya mula melancarkan saluran YouTube sendiri sekitar Mac lalu, tetapi tidak sangka menerima pengiktirafan daripada platform itu. Memang saya mahu memberikan fokus kepada media sosial kerana yakin mempunyai kekuatan menerusi platform itu.

“Paling penting, saya bebas menjadi diri sendiri kerana kebanyakan video yang dimuat naik dihasilkan secara spontan. Saya turut menampilkan tunang dalam video, tetapi dia tiada masalah.

“Biarpun belum dapat menyesuaikan diri dengan perhatian yang diterima, Amirul memahami tuntutan kerjaya saya. Kebanyakan masa, dia melayan sahaja kerenah saya. Itu yang membuatkan saya tertarik dengan sikap Amirul,” kata Ain.

Sumber: Berita Harian