WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

AIMAN TINO PRIHATIN BANTU INSAN MEMERLUKAN

Penyanyi Aiman Tino, berhasrat meneruskan misi amal, Program Pertama Kasih bagi membantu lebih ramai insan yang memerlukan


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino, berhasrat meneruskan misi amal, Program Pertama Kasih bagi membantu lebih ramai insan yang memerlukan.

Aiman berkata, program digerakkan bersama kakaknya, Fara Hezel dan penyanyi Izzmad Harun itu pada mulanya untuk membantu teman seperjuangan yang juga sepupunya, Haziq yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 5 Julai lalu.

“Kami memperkenalkan Kempen Dermalah Seikhlas Hati Anda Walaupun Hanya RM1 di bawah Program Permata Kasih untuk meringankan beban Haziq.

“Ketika sedang minum di kedai, kami terus terfikir, kenapa tidak jadikan ia sebagai aktiviti wajib supaya lebih ramai individu memerlukan mendapat manfaatnya.

“Sebagai permulaan, pada acara pertama di Uptown Kota Damansara, segala sumbangan akan disalurkan kepada Haziq dan pesakit kanser kanak-kanak, Rayyan.

“Kami berbesar hati apabila ramai rakan selebriti turut memberikan sokongan seperti Ara Johari dan Sufian Suhaimi,” katanya

Terdahulu, Haziq yang membonceng motosikal rakannya terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Besi, di sini, ketika dalam perjalanan ke Bukit Jalil, mengakibatkan kaki kanannya cedera parah.

Sebelum itu, bekas vokalis Putera Band itu terbabit dalam kemalangan pada 2017 lalu apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

Akibat kemalangan itu, Haziq mengalami kecederaan pada paru-paru, retak tulang tengkuk dan patah tulang rusuk.

Sementara itu, Aiman mengakui, terharu melihat maklum balas orang ramai, termasuk teman artis yang ingin menjadi sebahagian daripada misi amal mereka.

“Kami juga merancang program kedua di Teluk Intan, Perak dan segala maklumat berkaitan, boleh diperoleh menerusi Instagram kami.

“Jika tiada aral, kempen menerusi acara busking ini bakal berlangsung setiap dua bulan atau mengikut keperluan ,” katanya lagi.

Menyentuh perkembangan sepupunya, Aiman memaklumkan, luka pada bahagian kaki Haziq semakin baik, malah kakinya juga sudah boleh digerakkan.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sebagai saudara terdekat, saya hanya boleh memberikan kata semangat.

“Ketika melawatnya, baru-baru ini, saya nampak Haziq sudah boleh menggerakkan kakinya dan lebih bertenaga. Kami doakan Haziq terus kuat dan cepat sembuh,” katanya.

Sumber: Berita Harian