WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

'SAMPAI BILA-BILA DARAH DIA ADA DALAM DIRI SAYA'

Pelakon Nabila Huda menegaskan, apa juga yang berlaku antara dia dan bapanya, Amy Search


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda menegaskan, apa juga yang berlaku antara dia dan bapanya, Amy Search, pertalian darah antara mereka tidak akan putus sampai bila-bila.

Nabila yang mesra disapa Abil dalam satu muat naik di Instagram, pagi tadi berkata, perkongsiannya sempena Hari Bapa, semalam sekadar luahan hati seorang anak terhadap ayahnya dan bukan untuk mencipta drama baharu.

“Saya ikhlas dengan luahan hati terhadapnya. Ia sekadar luahan seorang anak terhadapnya. Kenapa ada pihak yang menyukarkan perkara ini?

“Persekitaran juga menjadi punca kami jauh dan membuatkan papa saya bersedih. Saya tidak rampas papa daripada sesiapa kerana darahnya ada dalam badan saya, sampai akhirat akan tetap ada,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi filem Munafik itu berkata, tidak kira betapa kuat orang cuba untuk menjauhkan hubungan mereka dengan pelbagai drama, bapanya tetap di hati.

“Sekalipun jika papa membenci, saya tetap menyayangi sepenuh hati. Atas sayang itu juga, saya korbankan hubungan kita untuk memastikan papa dan orang lain gembira.

“Papa sudah tua untuk terus berhadapan drama demi drama dalam kehidupan. Mungkin kita tidak ditakdirkan bersama kerana terlalu banyak rintangan yang terpaksa dilalui,” luahnya dalam satu muat naik, semalam.

Nabila turut meluahkan, selepas beberapa tahun tidak bertemu, dia tidak pernah melupakan bapanya.

“Tidak kira berapa jauh, berapa tahun kita tidak berjumpa, apa juga keadaan yang kita lalui, saya nak papa tahu, papa sentiasa dalam ingatan.

“Setiap saat dan minit, saya merindui papa. Saya rindu semua mengenai papa - tawa, jenaka, cara bercakap, masakan dan cara papa menerangkan sesuatu yang sama berulang kali setiap tahun.

“Walaupun kita tidak banyak masa bersama, apabila mengingati semua kenangan itu, saya akan senyum sendiri,” katanya.

Akur dirinya bukan anak yang terbaik, Nabila berkata, dia tidak pernah menyalahkan ibu dan bapanya atas perpisahan mereka apabila terpaksa mengharungi hidup tidak sama seperti insan lain.

Bagi pelakon berbakat besar itu, bapanya itu akan terus menjadi idola dan tiada siapa yang dapat menggantikan tempatnya.

“Saya bukan anak yang baik di mata orang lain. Saya tahu, ramai yang bercakap buruk mengenai saya di luar sana.

“Saya dianggap anak derhaka, lupa bapa sendiri dan macam-macam lagi. Tetapi, papa lebih tahu dan arif mengenai perkara ini dan kenapa saya berbuat demikian.

“Tidak kira sekuat mana ada orang cuba menjauhkan kita, papa tetap di hati saya,” katanya.

Nabila berkata, mereka tidak banyak mempunyai masa bersama sejak dia kecil, malah tidak pernah berpeluang mengembara berdua seperti yang dilakukan bapa dan anak lain.

Lantaran tidak peluang itu, Nabila berkata, dia cemburu setiap kali ke rumah kawan-kawannya dan melihat keakraban mereka bersama bapa masing-masing.

“Saya nak peluk papa, pegang tangan dan keluar berdua. Saya tidak pernah ada peluang itu.

“Saya bagaimanapun, akan sentiasa mendoakan kebahagiaan papa. Papa juga sudah ada keluarga sendiri dan sewajarnya gembira.

“Saya akan sentiasa tunggu mesej dan panggilan daripada papa. Saya reda kerana mungkin ini jalan yang tertulis untuk kita berdua.

“Saya juga sentiasa maafkan papa atas apa juga yang papa buat saya terasa atau sedih. Saya doakan papa sentiasa di berikan kesihatan yang baik. Saya sayang dan rindu papa sangat.. Selamat Hari Bapa Suhaimi Abdul Rahman,” luah ibu kepada Keisha Laila itu.

Sejak beberapa tahun lalu, konflik yang melanda Nabila dan bapanya yang turut mengaitkan orang yang dekat dengan Amy, masih belum menemui jalan penyelesaian.

Sumber: Berita Harian