WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

AIFFA 2019: AMERUL, NAM RON PUAS ONE TWO JAGA DIIKTIRAF

Pelakon Amerul Affendi menyifatkan, kejayaan mengungguli trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada acara Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Pelakon Amerul Affendi menyifatkan, kejayaan mengungguli trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada acara Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2019 di Kuching, Sarawak, sebagai pembakar semangat untuk terus memperjuangkan bakat seninya.

Amerul memenangi trofi itu menerusi filem Crossroads: One Two Jaga. Filem arahan Nam Ron itu turut cemerlang apabila membawa pulang trofi Pengarah Terbaik, mengulangi kejayaan yang dilakarnya pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM 30), akhir bulan lalu.

“Saya anggap kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk terus memperjuangkan bakat seni. Saya hanya berkongsi bakat dan melunaskan amanah yang diberikan pengarah. Jika ada yang suka dan menghargainya, pasti saya senang hati,” katanya.

Ia adalah kejayaan kedua yang dilakar Amerul sepanjang hampir sedekad mencipta nama sebagai pelakon. Anak jati Temerloh, Pahang berusia 32 tahun itu pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, FFM 27 menerusi lakonannya sebagai Toyu dalam filem, Terbaik Dari Langit.

“Melihat karya yang mungkin dipandang sepi atau dilihat tidak komersial diangkat dan diiktiraf, saya tersenyum bangga. Ia penghargaan buat semua yang bertungkus lumus membawa karya yang baik dan bermanfaat untuk tatapan umum.

“Kejayaan ini adalah kepuasan yang tidak mampu untuk diterjemahkan menerusi perkataan. Pencapaian ini juga saya harap akan menyuntik semangat karyawan untuk terus bangkit berjuang menerusi wadah filem,” katanya.

Filem yang berkisar mengenai kisah di sebalik tabir kehidupan pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia itu turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Bront Palarae, Vanidah Imran dan Zahiril Adzim.

Sementara itu, Nam Ron pula menyifatkan, kemenangan itu bukan untuk diraikan dalam masa singkat, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab yang harus dipikul selama menjadi insan seni.

“Doakan saya mampu menghasilkan yang lebih baik kerana saya masih mentah dan lemah,” katanya dalam satu muat naik di Instagram.

AIFFA 2019 mengiktiraf produksi Filipina, Signal Rock, arahan Chito S Rono, lakonan Christian Bables dan Keanna Reeves sebagai Filem Terbaik.

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi mendiang Kristoffer King dari Filipina menerusi filem Kristo, manakala Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pula dibawa pulang pelakon Indonesia, Raihaanun menerusi 27 Steps of May.

Sumber: Berita Harian