WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

HOLLYWOOD RAIKAN FINALE FILEM ‘AVENGERS’ DI TAYANGAN PERDANA

Pasukan adiwira Avengers yang terdiri daripada bintang-bintang terkemuka beramai-ramai turun ke Los Angeles pada petang Isnin


Back To Whats Hot

Pasukan adiwira Avengers yang terdiri daripada bintang-bintang terkemuka beramai-ramai turun ke Los Angeles pada petang Isnin untuk menghadiri acara tayangan perdana mewah bagi meraikan bab terakhir dalam saga 22 filem yang dikatakan sebagai francais paling menguntungkan sepanjang masa.

Beratus-ratus VIP industri, barisan pelakon, peminat dan media menonton tayangan pertama ‘Avengers: Endgame’, filem aksi tiga jam yang jalan ceritanya dirahsiakan dengan sangat ketat.

Filem itu memulakan tayangannya di pawagam seluruh dunia hari ini.

Robert Downey Jr. (Iron Man), Chris Hemsworth (Thor), Scarlett Johansson (Black Widow), Chris Evans (Captain America), Brie Larson (Captain Marvel) dan yang lain berjalan di atas permaidani ungu yang dibentangkan di bawah logo Avengers yang berpusing yang didirikan di dalam Pusat Konvensyen Los Angeles.

“Saya teruja kerana akhirnya saya dapat menonton filem itu,” kata Paul Rudd, yang berlakon sebagai Ant-Man dan, seperti pelakon yang lain, belum lagi melihat filem akhir berikutan kerahsiaan Marvel menyelubungi projek itu.

Rudd berkata dia telah menjelajah dunia untuk mempromosikan filem berkenaan dan “mencuba untuk bercakap mengenainya sebaik yang kita dapat, dan melakukan semua itu tanpa melihat filem adalah satu pengalaman yang pelik. Jadi sekarang, akhirnya dapat melihat filem itu adalah hebat.”

Bintang-bintang senarai-A lain turut memenuhi acara itu, termasuk adik Chris Hemsworth, Liam dan isterinya Miley Cyrus.

‘Endgame’ melengkapkan kisah enam ahli asal Avengers dalam semesta sinematik Marvel iaitu Iron Man, Captain America, Black Widow, Hawkeye, Hulk dan Thor.

Ia meneruskan jalan cerita tergantung dalam ‘Avengers: Infinity War’ pada tahun lepas di mana ramai adiwira Marvel bertukar menjadi debu selepas penjahat Thanos lakonan Josh Brolin berjaya merealisasikan misinya.

Dalam ‘Endgame’, beberapa adiwira yang tinggal merancang untuk membunuh Thanos dan cuba memulihkan semula kerosakan yang dilakukannya.

Selepas tayangan, bintang-bintang filem berkumpul di atas pentas dan saling berpelukan. Evans berkata dia menangis sebanyak enam kali ketika menonton filem itu. “Saya menangis lebih daripada enam kali, Chris,” kata Hemsworth.

Mark Ruffalo, yang berlakon sebagai Hulk, berkata bekerja dalam filem-filem itu adalah seperti “perjalanan yang sukar dilupakan.”

Dua puluh satu filem sebelumnya yang dikeluarkan oleh studio Marvel milik Walt Disney Co adalah francais paling menguntungkan dalam sejarah filem selepas menjana lebih daripada AS$18.6 bilion di box office global sejak 2007.

Menurut para penganalisis box office AS, filem ‘Endgame’ mungkin akan melakar rekod pembukaan hujung minggu yang baharu di pasaran domestik yang kini dipegang oleh ‘Infinity War’ dengan AS$257.7 juta.

Walaupun filem itu akan menutup cerita ‘Avengers’, beberapa karakter akan terus hidup dalam filem-filem akan datang. Spider-Man, sebagai contoh, akan kembali ke skrin besar pada Julai dalam ‘Spider-Man: Far from Home’.

Satu sekuel untuk ‘Black Panther’ juga sedang diusahakan.

Sumber: Utusan Borneo