WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

SARAH SUHAIRI JADI 'RAPPER'

Topik memperkasakan wanita menjadi pilihan juara program realiti, Big Stage, Sarah Suhairi dalam lagu rap sulung ciptaan Aman Ra yang bakal dirakamkan


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Topik memperkasakan wanita menjadi pilihan juara program realiti, Big Stage, Sarah Suhairi dalam lagu rap sulung ciptaan Aman Ra yang bakal dirakamkan, tidak lama lagi.

Tidak menampilkan penyanyi atau ‘rapper’ lain, Sarah mencabar diri menjadi artis rap berhijab dalam karya itu yang bakal memperlihatkan wanita sebagai ‘tulang belakang’ lelaki.

“Lagu rap ini akan dimuatkan dalam album mini saya yang mengandungi tujuh lagu. Saya beri sepenuh kepercayaan kepada Aman Ra untuk mencipta lagu ini.

“Judul lagu masih belum pasti. Saya akan dendangkan sendirian, malah Aman tidak turut serta. Saya memang sukakan karya ciptaan Aman,” katanya kepada BH Online.

November lalu, ketika majlis pelancaran single keduanya, Nyawa dan Raga, Sarah, 19, pernah meluahkan hasrat untuk merakamkan lagu rap.

Sarah berkata, dia sudah merakamkan dua lagu baharu iaitu ciptaan Sharon Paul dan Faizal Tahir untuk projek album mini itu.

“Bagi lagu ciptaan Sharon, lirik dihasilkan Shah Shamshiri. Saya turut mendapatkan khidmat Sirkhan dalam projek itu.

“Selain lagu baharu, single Pedih serta Nyawa dan Raga juga bakal dimuatkan,” katanya.

Sarah berkata, dia memilih menyanyikan lagu pelbagai genre dalam projek album mini itu.

“Saya hendak mencuba pelbagai genre bagi mengelak kebosanan. Saya cuba melakukan eksperimen dengan kemampuan yang ada.

“Mana tahu masa mendatang, saya akan tahu genre muzik yang lebih sesuai untuk diterokai,” katanya yang muncul dalam musim kelima program realiti, The House bersama Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Sumber: Berita Harian