MIRI: Masyarakat perlu menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha memerangi gejala dadah yang kini seolah-olah menjadi penyakit barah.
Residen Miri Mastapa Julaihi berkata penglibatan masyarakat penting bagi mencegah mahupun mengekang masalah penagihan dadah.
“Kita perlu bersatu dalam pencegahan awal dan mengekang masalah penyalahgunaan dadah agar ia tidak menjadi barah dalam masyarakat,” katanya.
Bahkan kata Mastapa, pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah harus dikongsi bersama masyarakat khasnya golongan belia.
“Kita perlu menyedarkan komuniti akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam merancang, menggerak dan melaksanakan aktiviti pendidikan pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah,” ujarnya.
Mastapa berkata demikian pada Program Jerayawara One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) sempena Bulan Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak.
Beliau menambah, pendekatan secara holistik dan inklusif perlu ditekankan dalam mempergiatkan keterlibatan masyarakat dalam memerangi dadah.
“Kerjasama pelbagai pihak dalam membentuk komuniti yang aktif bagi mewujudkan kualiti persekitaran setempat yang aman dan selamat,” ujarnya.
Mengulas mengenai jerayawara MIDS, ia telah bermula dari Kuching, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan berakhir di Miri.
Ia adalah anjuran Majlis Pembangunan Sosial Sarawak, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak melalui Jawatankuasa Sehenti bagi MIDS.
Program jerayawara akan singgah di bahagian utama di Sarawak dan komponen program yang telah dilaksanakan bersama komuniti seperti Jom Kembara, Walking Mesej, Omni Presence/Ops Aduan, Home Visit, Mesej Sempena Bulan Antidadah dan School Attack.
Sementara itu, seramai 600 peserta mengikuti ‘Fun Run’ sempena program berkenaan di Miri sementara 260 peserta menyertai ‘Fun Ride’.
Turut hadir Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Wan Madihi Wan Salleh, Datuk Bandar Adam Yii, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Winnie Lugit, Pegawai Daerah Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Ketua AADK Miri Mazlan Jikran.
I would love to receive more updates from CatsFM !