WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

ALIFF AZIZ MOHON MAAF, AKUI DIRI PUNCA KESILAPAN

Aliff berkata, kesilapan besar itu berpunca daripada dirinya dan dia sedang berusaha memperbetulkan semula rumah tangganya


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari kontroversi mengaitkan dirinya dengan pelakon baharu, Oktovia Manrose diperkatakan ramai, pelakon Aliff Aziz memohon maaf dan mengakui kesilapannya curang terhadap isteri, Bella Astillah.

Aliff berkata, kesilapan besar itu berpunca daripada dirinya dan dia sedang berusaha memperbetulkan semula rumah tangganya.

“Setiap kesalahan yang terjadi ada punca. Dalam kes ini, saya mengakui menjadi punca semuanya. Perkara sebenar sudah terbukti. Saya ingin memohon maaf kepada semua.

“Bagi saya, perlu untuk mengakuinya jika perkara itu memang salah. Soal hubungan dan rumah tangga saya dengan isteri, biar saya yang selesaikan. Banyak perkara yang perlu dibuat dan diperbetulkan.

“Kesilapan saya pada Allah, biar saya uruskan. Kesalahan pada ibu bapa, itu tanggungjawab saya,” katanya menerusi sesi video secara langsung di Instagram, tengah malam tadi.

Aliff, 28, yang juga penyanyi dan Oktovia dikaitkan menjalin ‘cinta lokasi’ apabila mulai rapat selepas membintangi sebuah telefilem. Perkara itu menjadi kecoh apabila Bella menerusi laman sosial pada Rabu lalu, mendedahkan pasangan itu keluar bersama ke pusat hiburan.

Dalam pengakuan itu juga, Aliff menegaskan, dia tidak menyalahkan isterinya apabila mendedahkan perkara itu di laman sosial.

“Isteri sudah lalui macam-macam dan saya banyak memberikan masalah kepadanya. Saya sangat bersalah.

“Saya kesal atas apa yang terjadi dan tidak nafikan kesalahan sendiri. Setiap manusia pasti berbuat salah. Hendak caci, maki dan hamun saya silakan... Cuma, jangan komen apa yang anda tidak tahu,” katanya lagi.

Pada masa sama, Aliff menyatakan, pengakuan itu dilakukan bukan untuk menegakkan benang basah atau mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya dia ingin memandang ke hadapan.

“Saya bukan nak cakap siapa yang salah. Banyak artikel keluar dan Via (Oktovia) juga sudah meminta maaf serta tidak menafikan apa yang berlaku. Memang kami yang bersalah.

“Sekarang, saya cuba untuk memandang hari depan. Saya mahu minta maaf kepada seluruh keluarga, malah adik-beradik juga marahkan saya kerana menjadi punca umi (emak) dihentam netizen.

“Selepas ini, nak cakap apa, cakaplah. Saya sudah luahkan apa yang saya rasa. Saya tidak mahu lagi memberikan sebarang komen. Insya Allah, selepas ini segala-galanya berjalan baik,” luahnya.

Menerusi perkongsian itu, dia turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang menganggap status dimuat naik ibunya di laman sosial hingga dihentam netizem adalah untuk menutup kesalahannya.

Dalam satu kenyataan lain menerusi Insta Story, Aliff berkata, dia berdiam bukan kerana melarikan diri, sebaliknya tiada sebab untuk memberikan sebarang kenyataan, kecuali kepada isteri dan keluarga.

Sebelum ini, Aliff pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa curang dengan seorang pelakon wanita ketika menjalani penggambaran bersama.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dan Aliff mendirikan rumah tangga pada September 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia setahun tujuh bulan.

Sumber: Berita Harian