WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

SPEKTAKULAR BLACKPINK

Blackpink yang kini popular di seluruh dunia berjaya menawan hati peminatnya di Malaysia dengan persembahan mantap selama dua jam


Back To Whats Hot

Tidak perlu pengenalan, kumpulan yang berasal dari Korea ini telah membuktikan kehebatan. Hanya dengan satu album, mereka berjaya menakluk pasaran muzik dunia, malah mengadakan siri jejalah di serata dunia.

Blackpink yang dianggotai empat gadis cantik ini tidak hanya menggunakan wajah sebagai daya penarik. Hati peminat terus dikunci dengan kelunakan vokal dan lenggok tarian yang cukup hebat.

Konsert pertama Blackpink di Malaysia yang berlangsung Sabtu dan Ahad lalu benar-benar menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam. Bayangkan 16,000 peminat membanjiri stadium itu.

Bukan calang-calang angka, malah mungkin sukar untuk ditandingi mana-mana artis baharu. Menggelarkan diri mereka Blinks, peminat kumpulan itu memahat kenangan yang cukup manis.

Paduan suara dan aksi lincah mereka menarik tidak perlu dipertikai. Di saat mungkin ada yang mempersoalkan sama ada nyanyian mereka hanyalah lip-sync, mereka membuktikan sebaliknya.

Menyampaikan lebih 16 lagu, Blackpink membuka tirai konsert dengan ladu Ddu-du Ddu-Du yang cukup popular di serata dunia.

Sorakan peminat bergema kuat apabila kelibat mereka mula terlihat di atas pentas.

Itulah kehebatan Blinks. Sebelum konsert bermula, sorakan mereka sudah cukup hangat. Cukup sekadar video muzik yang ditayangkan sudah buat mereka teruja dan tidak sabar untuk melihat Blackpink beraksi.

Cipta fenomena

Meneruskan konsert dengan lagu Forever Young, Stay dan Whistle, Blackpink cukup bijak mencuri hati peminat dengan keletah comel dan santai di atas pentas. Tidak hairan, ramai yang jatuh cinta biarpun kali pertama mendengar lagu mereka.

Barangkali mungkin ramai yang tertanya-tanya apa lebihnya kumpulan muzik Korea atau K-Pop. Bagaimana mereka mampu mencipta fenomena dan gelombang muzik yang cukup hebat.

Aura mereka bukan calang-calang, kaki dan tangan bagaikan menari bersama walaupun tidak faham hatta satu lirik sekalipun.

Menariknya, Blackpink bukan hanya membuktikan kehebatan mereka secara berkumpulan, malah persembahan solo setiap ahli kumpulan juga tidak ada cacat celanya. Baik Lisa, Jennie, Jisso dan Rose mereka memang layak bergelar penghibur.

Meneruskan persembahan dengan pentas dan pancaran laser yang spektakular, Blackpink menyanyikan lagu Kiss and Make Up, So Hot (nyanyian asal Wondergirls) dan Playing With Fire.

Bagi memuaskan hati peminat setia, mereka terus menyanyikan empat buah lagu, Really, See You Later, 16 Shots dan Boombayah sebelum ‘mengakhiri’ konsert itu dengan lagu As If It’s Your Last.

Tidak puas dengan persembahan penutup, peminat menggegarkan stadium dengan sorakan ‘encore’ supaya Blckpink kembali dan menyanyikan beberapa buah lagu lagi.

Maka mereka kembali menyanyikan lagu Ddu-du DDu-du dan Stay yang cukup dekat di hati peminat. Apa yang membezakan mereka dengan kumpulan K-Pop yang lain adalah mereka mampu menyanyikan lagu secara langsung dengan diiringi kumpulan muzik yang memukau.

Apatah lagi, gaya busana mereka di atas pentas juga amat dititikberatkan dan setiap ahli kumpulan mempunyai karakter serta peribadi tersendiri menjadikan mereka cukup berbeza daripada yang lain.

Tidak hairan jika peminat yang sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menyaksikan artis kesayangan mereka, pulang dengan senyuman dan kepuasan yang tidak ada tolok bandingnya.

Sumber: Utusan Online