WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

JAMES BOND IBAN' GANTI DANIEL CRAIG?

Henry Golding disebut-sebut sebagai pengganti Daniel Craig dalam edisi terbaharu filem James Bond


Back To Whats Hot

Apakah 2019 akan menyaksikan selebriti Asia menjadi bintang pujaan di Hollywood selepas kumpulan K-Pop, BTS menguasai pasaran Amerika Syarikat?

Barangkali juga, kemasyhuran yang sedang dinikmati oleh Blackpink memberi petanda bahawa inilah peluang keemasan yang harus direbut oleh artis-artis dari Asia.

Lalu, apabila berita watak perisik Inggeris, James Bond bakal digalas aktor tampan kelahiran Betong, Sarawak, Malaysia, Henry Golding, itu merupakan khabar yang paling manis buat industri hiburan.

Seandainya khabar itu sudah dimeterai dalam kontrak tawaran, tentu sekali Henry bakal melakar sejarah paling cemerlang dalam profil seninya selepas namanya hangat diperkatakan dalam filem Crazy Rich Asians pada 2018.

Sebetulnya, cadangan Henry, 32 tahun, melakonkan watak James Bond itu sudah lama menjadi bahan perbincangan netizen di media sosial.

Bahkan, sewaktu sibuk mempromosikan filem Crazy Rich Asians di Hollywood, nama Henry juga disebut oleh personaliti terkenal Hollywood, Jimmy Fallon ketika aktor tampan itu diwawancara dalam program The Tonight Show Starring Jimmy Fallon.

Lantaran mengagumi perjalanan seni Henry, Fallon secara spontan mencadangkan pelakon berdarah Inggeris-Iban itu menjadi tunggak utama James Bond.

"Saya mahu katakan inilah James Bond yang akan datang," kata Fallon mengundang tepukan penonton program berkenanaan.

Semasa muncul sebagai muka depan majalah GQ pada November tahun lalu, peminat-peminat Henry beramai-ramai memuat naik status meminta pelakon itu ditampilkan sebagai James Bond seterusnya menggantikan Daniel Craig.

Segelintir pihak dalam industri filem Hollywood bersifat skeptikal terhadap spekulasi nama Henry sebagai James Bond kerana dia bukan orang Inggeris asli.

Sebaliknya, bagi mereka amat sukar untuk lelaki berdarah Iban itu menggantikan aktor Inggeris asli yang selama ini menjadi sinonim dengan filem risikan popular itu.

Bagaimanapun, jika latar belakang Henry, ketampanannya serta profil seninya diambil kira, ditambah dengan darah Inggeris dan Asia yang diwarisi daripada ibu dan ayahnya, kenapa tidak?

Henry akan memberi nilai tambah kepada Hollywood kerana pengaruhnya di rantau Asia tidak harus diperkecilkan, lebih-lebih lagi selepas filem Crazy Rich Asians yang dibintanginya mendapat sambutan luar biasa.

Sekali lagi, seandainya benar Henry menjadi pilihan produksi James Bond untuk siri ke-25 filem perisikan itu, maka bekas personaliti televisyen itu bakal mengulangi sejarah yang dilakar pelakon Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh yang bergelar gadis Bond dalam Tomorrow Never Dies yang diterbitkan pada 1997.

 

MUNGKINKAH rakyat Malaysia akan menyaksikan Henry Golding mengulangi sejarah Michelle Yeoh? - Gambar Instagram Henry Golding
MUNGKINKAH rakyat Malaysia akan menyaksikan Henry Golding mengulangi sejarah Michelle Yeoh? - Gambar Instagram Henry Golding

 

Namun begitu, keterujaan mengenai spekulasi Henry sebagai ejen 007 masih belum terjawab lantaran aktor itu lebih senang berdiam diri.

“Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai hal itu,” katanya seperti dilapor portal berita TMZ pada Isnin.

James Bond edisi ke-25 disasarkan untuk tayangan pada 14 Februari 2020 di United Kingdom.

Pemegang watak James Bond yang terakhir, Craig pula tidak dapat memberikan komitmen untuk siri terbaharu ini kerana terikat dengan jadual penggambaran filem lain.

Sumber: AWANI