• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

BENTENG HAKISAN UNTUK MELINDUNGI PANTAI TUSAN DALAM KAJIAN: LEE

Lee menunjukkan tebingan berbatu menyerupai kepala seekor kuda sedang minum air, salah satu tarikan utama di Pantai Tusan yang cantik dan unik


Back To Whats Hot

MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengkaji keperluan dan anggaran kos projek pemulihan mitigasi tebing Pantai Tusan di Bekenu dekat sini, untuk memasang benteng hakisan.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, ini akan menjadi projek berasingan untuk menaik taraf projek infrastruktur dan kemudahan semasa di Pantai Tusan yang dijangka bermula pada Ogos tahun ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan dan lawatan ke tapak projek menaik taraf Pantai Tusan bernilai RM6 juta yang termasuk kos pengambilan tanah dan  perundingan.

“JKR akan melakukan kajian dan reka bentuk dilakukan secepat mungkin.

“Ini akan menjadi projek (naik taraf) berasingan kerana hakisan di sini agak serius,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mengenai projek menaik taraf infrastruktur di pantai berkenaan, beliau menggesa kontraktor memberi keutamaan kepada pembinaan tangga dan benteng pemecah ombak untuk melindungi pantai dengan pemandangan indah itu yang terletak  kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar raya Miri.

Tapak ini telah diserahkan kepada kontraktor dan kerja akan bermula minggu depan untuk penambahan gerai makanan, menara pemerhatian, rel keselamatan, laluan pejalan kaki dan kemudahan lain termasuk tandas.

Beliau menambah kata, sebaik projek itu siap sepenuhnya kelak pada Februari 2020, ia bakal menjadikan pantai tersebut lebih menarik dengan pelbagai kemudahan bagi pelancong dan pelawat.

Pantai Tusan menarik perhatian meluas selepas gambar fenomena semula jadi ‘Blue Tears’ muncul di media sosial pada 2015.

Sejak itu, pihak berkuasa menggiatkan usaha menarik lebih ramai pelancong dengan menjadikan Pantai Tusan yang unik dengan batuan semula jadi menyerupai kepala seekor kuda sedang minum air sebagai salah satu tarikan utama pelancong.

Mengenai projek ‘Bakam Point’ yang bernilai kira-kira RM3.6 juta, hanya 20 kilometer dari pusat bandar, Lee melahirkan rasa puas hati dan gembira dengan kemajuan projek tersebut yang berjalan mengikut jadual.

“Ketika ini projek tersebut sudahpun 70 peratus siap dan kini hanya kerja tambahan yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah hakisan sungai dan pihak perunding dijangka mengemukakan usul mengenainya dalam masa terdekat,” katanya.

Lee memberitahu, projek ‘Bakam Point’ termasuk pembinaan jeti sepanjang 30 meter, 16 kedai, 20 gerai nelayan serta sebuah kedai makanan dan minuman.

Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos tahun ini.

Lee berkata, projek-projek yang dinyatakan di atas dilaksanakan Pejabat Residen Miri di bawah pengawasan JKR serta telah diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika beliau masih menjadi Menteri Pelancongan pada 2016.

Sumber: Utusan Borneo