WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

USAH CEMARI TELOK MELANO DENGAN SAMPAH SARAP

Amat menyedihkan sikap segelintir pengunjung yang kurang peka terhadap isu kebersihan dengan membuang sampah sarap merata tempat


Back To Whats Hot

KUCHING: Telok Melano yang kini menjadi destinasi percutian popular di kalangan warga tempatan sejak siap Lebuhraya Pan Borneo Jajaran Telok Melano pada Januari lalu sedikit tercemar disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pengunjung yang membuang sampah sarap di sekitar pantai.

Amat menyedihkan sikap segelintir pengunjung yang kurang peka terhadap isu kebersihan dengan membuang sampah sarap merata tempat merosakan pemandangan indah di pantai.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu mengingatkan agar pengunjung bersikap bertanggungjawab dan bersama-sama menjaga kebersihan semasa berkunjung di situ.

"Saya sangat gembira dengan sambutan yang amat meriah dari kalangan orang ramai berkunjung di Telok Melano sejak Lebuhraya Pan Borneo siap dan dirasmikan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 26 Januari lalu.

"Sejak ia dibuka, ramai di kalangan penduduk dari seluruh Sarawak berkunjung di sini selepas melihat gambar dan video keindahan semula jadi Telok Melano yang dikongsi pengguna di laman sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dengan perjalanan kira-kira dua jam dari Kuching ke Telok Melano, ia memudahkan lagi orang ramai untuk berkunjung ke kawasan tersebut.

Jamilah memberitahu, jumlah pengunjung yang datang melawat Telok Melano pada 5 Februari lalu iaitu hari pertama Tahun Baharu Cina amat ramai yang mana menyebabkan kesesakan lalu lintas 'luar biasa' di kawasan tersebut.

Tambahnya, ekoran itu ramai dari kalangan pengunjung menyuarakan pandangan mereka di media sosial mengenai kesulitan yang dialami mereka.

"Dalam sambutan Tahun Baharu Cina, saya tidak dapat bersama-sama pengunjung di Telok Melano kerana jadual lawatan saya telah dibuat, saya sememangnya mahu bersama anda semua di sana tetapi masa tidak menyebelahi saya untuk bersama anda semua.

"Sebagai wakil penduduk Telok Melano, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung yang telah meluangkan masa untuk melawat kawasan ini dan kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami ketika berkunjung di sini ekoran jumlah pengunjung yang datang terlalu ramai untuk melihat keindahan pantai dan alam semula jadi di Telok Melano ini," katanya.

Beliau menjelaskan, kesulitan itu amatlah tidak disengajakan dan kemudahan asas yang ada di Telok Melano masih sedang dalam perancangan dan pelaksanaan.

"Justeru, kita berharap semua pengunjung yang telah datang ke sini tidak merasa kecewa dan dapat datang semula ke sini apabila semua kemudahan untuk pengunjung siap sepenuhnya pada masa hadapan.

"Saya juga telah mengatur pertemuan bersama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan untuk mempertingkatkan lagi kemudahan asas yang diperlukan di Telok Melano seperti tong sampah, tempat pakir, tandas awam dan sebagainya," ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pengunjung di Telok Melano harus disediakan kemudahan asas supaya mereka dapat menginap di sana bagi menikmati lawatan mereka ke kawasan tersebut.

"Sebagai wakil rakyat yang dipilih di Tanjong Datu, saya amat berharap Telok Melano ini terus menjadi lokasi percutian yang menyeronokan untuk rakyat Sarawak dan menjadi lokasi pelancongan yang popular di negeri ini," katanya lagi.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Rusnan Mustafa