WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

AL-SULTAN ABDULLAH LAFAZ SUMPAH JAWATAN

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH melafaz Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Sultan Pahang, Al-Sultan Ab­dullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Turut melafaz sumpah me­me­gang jawatan ialah Sultan Pe­rak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh raja-raja Melayu dalam Mesyua­rat Majlis Raja-raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Malaysia adalah sebuah dari­pa­da 43 negara di dunia yang meng­amalkan sistem pemerin­tahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggi­liran dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Al-Sultan Abdullah, 59, dan Sul­tan Nazrin, 62, melafaz dan me­nandatangani surat sumpah ja­watan di hadapan Raja-raja Me­layu dari Negeri Sembilan, Se­langor, Perlis, Terengganu, Ke­dah, Johor, Kelantan (diwakili Tengku Mahkota Kelantan) dan Pahang yang diwakili Pemangku Raja serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Maj­lis Raja-raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Sela­ngor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mi­zan Zainal Abidin dan Raja Per­lis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai saksi.

Al- Sultan Abdullah turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu, bermulanya secara rasmi Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar memohon kesejahteraan ke atas baginda berdua serta seluruh rakyat dan negara ini.

Al-Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Terdahulu, keberangkatan Al-Sul­tan Abdullah ke Istana Negara selepas istiadat keberangkatan tiba di Dataran Parlimen di­iringi kenderaan pengiring diraja.

Al-Sultan Abdullah menerima Kawalan Kehormatan Darjat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada tiga pegawai dan 31 anggota diketuai oleh Mejar Mohd. Azwan Ariff Mohd. Azawi sebaik sahaja kenderaan diraja yang membawa Yang di-Pertuan Agong melintasi pasukan itu ketika menuju Anjung Utama, Istana Negara.

Serentak itu, Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang dianggotai seorang pegawai dan 33 anggota dipimpin Mejar Abdul Aziz Abdullah memainkan lagu Negaraku.

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Datuk Paduka Maharaja Lela Mejar Jeneral (B) Datuk Mamat Ariffin dan Penyim­pan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Al-Sultan Abdullah diiringi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Kelantan dan Pemangku Raja Pahang serta kesemua Yang Dipertua Negeri ke Balairung Seri bagi istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan diikuti perisytiharan memegang jawatan.

Usai istiadat berkenaan, Al-Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin berkenan bergambar bersama-sama dengan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Tengku Mahkota Kelantan dan Pemangku Raja Pahang serta kesemua Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan antaranya Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Ketua Hakim Syarie, Datuk Mukhyuddin Ibrahim; Peguam Negara, Tommy Thomas; Pang-lima Ang­katan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. Vignes­waran dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dalam Istiadat Sembah Kenal.

Sementara itu tiupan nafiri 14 anggota pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat mengiringi keberangkatan Sultan Abdullah di Dataran Parlimen hari ini untuk istiadat sambutan rasmi selaku ketua negara baharu.

Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri A­gong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar disambut Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sumber: BERNAMA