WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

KECOH 'NO VIEW' KLIP VIDEO VROOM VROOM

Nabila sedih single terbaru Vroom Vroom yang dilancarkan semalam, terus dikritik segelintir netizen yang menuduh promosi dibuat adalah gimik


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Isu gimik single terbaru Nabila Razali, Vroom Vroom yang dilancarkan semalam, nampaknya masih hangat diperkatakan.

Andai sebelum ini, tindakan penyanyi itu memadamkan foto dalam akaun Instagram didakwa netizen sebagai gimik, sekarang kecoh pula isu video muzik Vroom Vroom yang dikatakan memberi petunjuk ‘no view’ atau tiada tontonan di YouTube selepas beberapa jam dimuat naik.

Netizen mendakwa pelik apabila klip video berkenaan tidak mencatat jumlah tontonan mahupun tanda ‘suka’ biarpun sudah dikongsi untuk beberapa jam, semalam.

Tambah hangat, ada pihak mendakwa jumlah tontonan sengaja disembunyikan sebagai merancakkan lagi promosi single keempat ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu.

Bertanya mengenai kontroversi itu, Nabila yang sebelum ini popular dengan single Pematah Hati, mempertahankan apa yang dilakukan dirinya dan syarikat rakaman dalam mempromosikan single Vroom Vroom.

“Saya fikir soal ini bukan benda main-main. Apatah lagi ini membabitkan syarikat besar seperti YouTube.

“Saya dapat tahu, masalah teknikal yang berlaku (tiada jumlah tontonan dan tanda ‘like’ direkodkan) bukan saya saja yang melaluinya.

“Ada pihak lain pun pernah mengalaminya. Takkanlah sampai jadi macam ini, orang di luar sana termasuk netizen tuduh ini adalah sebahagian daripada gimik dirancang,” katanya kepada BH Online.

Nabila berkata, aduan sudah dibuat dan masalah yang berlaku sudah pun diatasi.

“Semakan sejak malam tadi mendapati klip video Vroom Vroom mula menunjukkan jumlah tontonan. Sama juga dengan tanda ‘like’ (suka) dan ‘dislike’ (tidak suka),” katanya.

Nabila berkata, sejak awal lagi dia sudah menyatakan tiada gimik dilakukan terhadap promosi single berkenaan.

“Tindakan saya memadam foto di Instagram bukanlah gimik, sebaliknya lebih kepada ‘teaser’ atau pengenalan bagi single ini.

“Benar, untuk lagu Pematah Hati, memang ada gimik. Namun, single terbaru ini, tiada gimik dibuat,” katanya.

Nabila mengaku sedih dan kecewa apabila buah tangan terbarunya itu teruk menjadi mangsa kritikan segelintir netizen.

“Tapi saya anggap semua ini sebagai ujian kecil. Saya harap mereka di luar tidak terus marah-marah. Ini kerana apa yang berlaku adalah di luar kawalan... Saya reda,” katanya.

Nabila juga berterima kasih kepada semua pihak yang mengulas mengenai lagu berkenaan.

“Tak kira komen baik atau buruk, saya terima dengan hati terbuka. Cuma biarlah komen secara berhemah kerana ia mencerminkan keperibadian kita.

“Saya juga terbuka kalau ada yang tak suka lagu ini dan membandingkannya dengan lagu Pematah Hati. Masing-masing ada pandangan,” katanya.

Ketika ini, video muzik Vroom Vroom yang menampilkan Fendy Bakry, Hael, Ara Johari, Nia Atasha dan Sharifah Rose, sudah ditonton lebih 180,000 kali dan berada pada kedudukan ke-20 trending.

Sumber: Berita Harian