WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

KUCHING DILANDA BANJIR

Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat jam 4 petang semalam bagi menempatkan 81 mangsa banjir yang terjejas di bahagian Kuching


Back To Whats Hot

KUCHING: Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat jam 4 petang semalam bagi menempatkan 81 mangsa banjir yang terjejas di bahagian Kuching.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan di sini semalam, tiga pusat pemindahan itu dibuka di Balai Raya Kampung Paon, Sematan Lundu, Dewan Sinaran Kampung Sungai Lumut dan Surau Ar Rahman Kampung Sungai Batu.

“Jumlah keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka setakat ini bagi bahagian Kuching adalah sebanyak tiga pusat bagi menempatkan 81 mangsa membabitkan 21 keluarga,” kata jurucakap Sekretariat JPBN Sarawak.

Katanya, bagi PPS Surau Ar Rahman Kampung Sungai Batu, ia menempatkan tiga keluarga melibatkan 18 mangsa.

Manakala di PPS Dewan Sinaran Kampung Sungai Lumut pula, jelasnya, ia menempatkan sembilan keluarga melibatkan 32 mangsa.

“PPS yang baharu dibuka tengah hari tadi (semalam) di Balai Raya Kampung Paon di Sematan, Lundu yang menempatkan sembilan keluarga melibatkan 31 mangsa,” tambahnya.

Dedahnya, hujan yang berterusan sejak awal pagi menyebabkan limpahan air hujan dan kenaikan paras air sungai di kawasan rendah menyebabkan beberapa rumah dinaiki air setinggi satu hingga dua kaki.

“Ketika ini hujan sering turun dan sebuah PPS dibuka iaitu di Balai Raya Kampung Paon,” katanya.

Pada masa sama Sekretariat JPBN Sarawak memberitahu, paras air di kampung tersebut masih tinggi dan hujan dijangka berterusan hingga hari ini.

Selain kampung tersebut, lima lagi kampung turut terjejas antaranya, Kampung Sebat Dayak/Melayu dan Baru, Kampung Temaga Dayak/Melayu, Kampung Sebako, Kampung Judin dan Kampung Serayan Cina.

Malah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lundu turut melakukan pemantauan di kawasan Kampung Paon, Kampung Sebat Dayak, Kampung Sebat Melayu, Kampung Temaga Dayak, Kampung Temaga Melayu dan Kampung Sebat Baru mendapati paras air telah naik.

Pihak APM turut memaklumkan kepada ketua kampung agar bersiap sedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk dan perbincangan untuk PPS masih dilakukan.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan bagi memindahkan mangsa banjir di Kampung Paon.

“Bomba menerima panggilan daripada orang awam yang mengatakan terdapat dua rumah dinaiki air banjir.

“Apabila sampai di lokasi, jalan menuju ke rumah tersebut telah terputus. Anggaran ketinggian paras air sekitar tiga kaki dan pihak bomba terpaksa meredah air ke kawasan yang terjejas,” kata bomba.

Hasil pemantauan pihak bomba di tempat kejadian, tiga rumah dinaiki air manakala lima lagi hampir dinaiki air.

Namun penghuni rumah berkenaan telah dinasihati agar mengambil langkah perlu sekiranya ingin berpindah.  

“Terdapat dua keluarga mangsa banjir mahu berpindah dan kesemua mangsa telah dipindahkan pihak bomba dan ditempatkan di Dewan Balai Raya Kampung Paon,” jelas bomba.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Rusnan Mustafa