WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

ZAMANI TERUJA JAYAKAN KONSERT 25 TAHUN SLAM

Zamani teruja dengan perancangan untuk merealisasikan konsert khas bersempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan Slam


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zamani, teruja dengan perancangan untuk merealisasikan konsert khas bersempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan Slam.

Pengurusnya, Aalan Ahmad, berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan ZIME Production, namun semuanya belum diperincikan.

“Sebagai vokalis kumpulan Slam, Zamani berbesar hati untuk menjayakan konsert besar-besaran yang diajukan oleh Shah, selaku pemain gitar utama mereka.

“Slam juga adalah pembuka ruang hingga nama Zamani dikenali di arena muzik perdana, sekali gus mereka mempunyai memori cukup manis untuk dikenang sepanjang tempoh 25 tahun penubuhannya.

“Cuma, ketika ini ia baru di peringkat perbincangan. Setiap perincian termasuk tarikh, lokasi dan penaja masih perlu diperkemaskan lagi.

“Apa pun, andai konsert ulang tahun ini dapat direalisasikan, ZIME Production sebagai syarikat pengurusan Zamani tentu memberikan sepenuh sokongan,” katanya.

Terdahulu, Slam yang pernah menembusi pasaran Indonesia, Brunei dan Singapura ketika zaman gemilang mereka mengadakan sambutan ulang tahun ke-25 kumpulan itu secara sederhana di ibu kota.

Dalam perjumpaan yang turut dihadiri anggota lain, Shah atau nama sebenarnya Shah Nizam Abd Halim menyuarakan hasrat mengadakan konsert ulang tahun kumpulan yang cukup dikenali dengan lagu Gerimis Mengundang dan Tak Mungkin Berpaling itu.

Selain Zamani dan Shah, Slam turut ditunjangi oleh Ajak selaku pemain gitar kedua, Lili (bes), Eddie (keyboard) dan Man (dram).

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1991 itu pernah berhimpun semula dua tahun lalu menerusi Konsert Kurnia Slam yang berlangsung di StarXpo Centre KWC Mall sebelum mengadakan persembahan sama di Johor.

Aalan berkata, mereka turut mempunyai perancangan merakamkan single baharu kumpulan itu di bawah projek khas yang dijangka dapat disempurnakan tahun ini.

“Buat masa ini, kami mendahulukan rakaman lagu solo baharu Zamani yang bakal diterbitkan oleh komposer dan penyanyi terkenal, Faizal Tahir. Ikutkan, dalam bulan ini proses rakamannya dapat disiapkan.

“Selepas itu, barulah kita akan fokus kepada projek khasnya bersama Slam, termasuk penghasilan lagu baharu dan konsert reunion,” katanya.

Sumber: Berita Harian