• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

ANAK SARAWAK ‘DILAMAR’ BMW

Franklin yang berasal dari Kapit itu berjaya menambat hati tiga panel semasa pembentangan kertas kerjanya di Austria


Back To Whats Hot

KUCHING: Franklin Lingga Abun menjadi anak Sarawak pertama yang bakal menandatangani kontrak bersama syarikat automotif terkenal dunia, BMW Group.

Berusia 20 tahun dan merupakan pelajar tahun ketiga bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Franklin ‘dilamar’ dengan kontrak 10 tahun bersama BMW Group di Austria sebagai pakar teknologi automotif bermula tahun 2021.

Franklin yang berasal dari Kapit itu berjaya menambat hati tiga panel semasa pembentangan kertas kerjanya iaitu teknologi semi-solar automotif di Austria dengan bersaing bersama dua lagi calon negara lain, iaitu seorang dari Jerman dan seorang dari Korea Selatan.

Beliau yang akan menerima surat rasmi daripada BMW dalam masa 14 hari, akan ke Munich pada Mac 2019 untuk menandatangani kontrak 10 tahun bersama BMW.

“Masih banyak perjalanan yang saya lalui di mana saya juga perlu mempelajari banyak perkara dan bersiap sedia sepenuhnya untuk bersama mereka.

“Bagaimanapun saya perlu juga menamatkan pengajian saya di UNIMAS yang tamat pada tahun 2020,” katanya pada sidang media semasa ketibaan beliau yang disambut Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Franklin yang mengetahui tawaran atau pembentangan kertas kerja daripada BMW Group itu melalui laman sesawang, kemudian mencuba nasib dengan mengemukakan kertas cadangan melalui e-mel kepada syarikat itu.

“Apabila saya menerima tawaran saya berfikir dua tiga kali kerana mengetahui bahawa kos yang tinggi dan ia memerlukan kewangan yang besar ke Austria untuk membuat pembentangan.

“Namun saya bernasib baik dan berterima kasih kerana ada yang membantu khasnya Tan Sri Datuk Amar James Masing (Timbalan Ketua Menteri) dan Datuk Snowdan Lawan (Menteri Muda Belia dan Sukan) sehingga semuanya berjalan lancar,” katanya yang bertolak ke Austria pada 22 November lepas dan tiba di Kuching semalam.

Menceritakan lanjut mengenai ideanya, Franklin yang juga merupakan satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik itu berkata, ia bermula dengan kenyataan Pengasas atau Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Motor Elon Musk.

Katanya, Elon Musk menyindir BMW Group bahawa kereta hanya bergantung kepada minyak dan gas, dan ia menjadi peluang kepadanya untuk mengambil hati serta membuka minda BMW mengenai kertas cadangannya.

“Saya mendapat inspirasi kertas cadangan saya iaitu teknologi semi-solar automotif mengenai kenyataan Elon Musk itu.

“Dari situ saya mula berfikir bahawa kalau saya mampu kembangkan semi-solar ini kepada BMW dan membuka mata mereka bahawa kereta mesra alam sangat penting untuk masa depan, yang saya rasakan ia pasti menarik minat BMW untuk bersaing dengan Tesla,” katanya.

Franklin berkata, kontrak selama 10 tahun iaitu bermula 2021 hingga 2031 itu akan meletakkan beliau sebagai pelapis kepada pakar teknologi bagi kumpulan syarikat automotif dunia itu.

Beliau merupakan anak sulung dan satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik, manakala bapanya merupakan mekanik kanan di UMW Toyota Motor dan ibunya suri rumah.

Sementara itu Snowdan pada sidang media yang sama berkata, kejayaan Franklin itu menjadi satu kebanggaan kepada anak Sarawak khasnya kaum Iban.

“Sebagai rakyat Sarawak, anak Iban kita amat berbangga dengan Franklin ini dan ternyata sokongan kita terhadapnya amat bermakna.

“Kita bangga kerana sebenarnya ramai anak-anak Sarawak yang berpotensi serta bijak dan beliau diterima untuk menandatangani kontrak bersama BMW di sana nanti,” katanya.

Masing melalui aplikasi WhatsApp kepada Utusan Borneo turut mengucapkan yang terbaik kepada Franklin.

Jelasnya bantuan yang disumbangkan kepada anak muda itu ternyata tidak sia-sia di mana beliau berjaya mencipta nama sebagai anak Sarawak bersama syarikat bertaraf dunia dan bakal diiktiraf sebagai pakar teknologi automotif.

Oleh Jessica Jawing

Sumber: Utusan Borneo