WHAT'S NEXT

#CNO912

09.00pm - 12.00am

BAJET 2019 PERLU BERBEZA BAGI MENCERMINKAN PEMIKIRAN KERAJAAN BAHARU

Bajet yang akan dibentangkan pada 2 November depan, mesti mampu memulakan satu ekosistem baharu yang akan menyampaikan keadilan serta kesamarataan


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Bajet 2019, yang akan dibentangkan buat pertama kali oleh Pakatan Harapan, perlu berbeza dan menunjukkan hala tuju yang mencerminkan pemikiran kerajaan yang baharu.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam, berkata strategi belanjawan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini mestilah berhemat dan mesra golongan berpendapatan rendah, adil serta saksama dan bertujuan untuk menyusun semula ekonomi negara melalui meritokrasi dan persaingan.

"Bajet yang akan dibentangkan pada 2 November depan, mesti mampu memulakan satu ekosistem baharu yang akan menyampaikan keadilan serta kesamarataan bagi semua sektor ekonomi merangkimi golongan pekerja, permodalan dan usahawan.

"Dengan itu, kita akan terdorong untuk menyokong strategi bajet ini dan cukai yang lebih tinggi. Rasuah juga perlu dikurangkan supaya pembayar cukai berasa lebih yakin bahawa cukai mereka akan dibelanjakan dengan bijak serta tidak dilencongkan ke saluran rasuah atau pembaziran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan telah membayangkan bahawa antara strategi-strategi tersebut ialah pengenalan cukai baharu yang dijangka akan menjadi tidak popular di kalangan rakyat.

"Tetapi jika cukai itu hanya dikenakan ke atas orang-orang yang mampu untuk membayar seperti golongan kaya dan bukan ke atas kelas sederhana atau miskin, maka saya fikir cukai-cukai baharu ini akan dialu-alukan dan popular di kalangan majoriti rakyat Malaysia" katanya.

Rakyat akan menyambut baik sistem cukai yang lebih progresif jika ia mampu mengurangkan jurang pendapatan, menyediakan lebih banyak dana bagi pembayaran hutang negara yang tinggi iaitu sebanyak RM1.0 trilion, mengurangkan defisit bajet dan membantu kerajaan untuk terus membekalkan keperluan asas rakyat.

Katanya lagi, kerajaan tidak seharusnya mengurangkan peruntukan ke atas dasar serta program yang berkaitan dengan kesihatan, pendidikan, persekitaran, pertahanan, keselamatan dan pembasmian kemiskinan.

Lebih banyak peluang perlu diwujudkan bagi mengimbangi peruntukan perbelanjaan kepada negeri-negeri yang tidak berpendapatan tinggi di Malaysia termasuk kawasan-kawasan miskin di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

"Golongan berpendapatan tinggi yang dikenakan cukai sepatutnya, lebih berasa bersyukur kerana mereka mereka akan dapat membantu kerajaan bagi membolehkan lebih banyak rakyat berpendapatan rendah dan miskin menikmati kehidupan yang lebih berkualiti," katanya.

Ramon juga menjangkakan Bajet 2019 akan memperkenalkan dasar-dasar serta projek sosio-ekonomi yang berkaitan dengan keperluan asas dan tidak berdasarkan bangsa.

Sumber: BERNAMA