• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

RAGAMAN BUKAN KISAH SAYA DAN ISTERI - FAIZAL TAHIR

Video yang dikongsi pada 27 September lalu di laman YouTube berjaya mencatat jumlah 1 juta tontonan hanya dalam masa 72 jam


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Faizal Tahir, 39, menolak tanggapan lagu baharunya, Ragaman, dihasilkan berdasarkan kisah rumah tangganya sendiri.

Biarpun karya terkini daripadanya itu menceritakan mengenai kisah suami yang sabar melayan kerenah isteri, Faizal yang juga seorang komposer berkata, ia tiada kena mengena dengan mahligainya bersama Siti Raihanim Noran.

“Ia sebaliknya adalah cetusan imaginasi saya apabila mendapat idea daripada realiti kisah rumah tangga yang pernah disampaikan kepada saya sebelum ini. Dalam masa sama, saya juga mengambil inspirasi kisah digambarkan dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Mesej yang disampaikan juga bersifat mudah, tetapi sering dilupakan. Walaupun pasangan kita mempunyai pelbagai ragam dan banyak kerenah, kita harus banyak bersabar, belajar memahami serta bertolak ansur.

“Kalau sudah berjanji untuk sehidup semati, kita memang kena sedaya upaya untuk menunaikan janji itu,” katanya.

Percaturan Faizal mengetengahkan single berbeza dengan menyuntik elemen reggae dan pop yeh yeh dilihat menjadi apabila lagu berkenaan menjadi siulan ramai, malah video muziknya yang menampilkan pelakon, Nabila Huda, berada pada kedudukan pertama klip sohor kini negara ini.

 


NABILA Huda. - Foto Khairul Azhar Ahmad

 

Video yang dikongsi pada 27 September lalu di laman YouTube berjaya mencatat jumlah 1 juta tontonan hanya dalam masa 72 jam.

“Nabila mempunyai perwatakan sesuai untuk membawa watak isteri saya dalam video muzik ini. Saya tidak dapat membayangkan orang lain untuk memegang watak ini. Nabila adalah pilihan terbaik,” kata Faizal.

Pemilihan aktres itu turut dipuji peminat apabila mereka menyifatkan Nabila memiliki raut wajah klasik dan daya tarikan tersendiri.

“Pada mulanya saya gementar hendak beraksi di sisinya kerana dia pelakon yang hebat. Tetapi, lama kelamaan keserasian antara kami terserlah. Hasil kerja Nabila memang sangat mengagumkan. Saya amat berterima kasih dan terhutang budi kepadanya.

“Walaupun mendapat banyak tawaran sebelum ini, Nabila belum pernah terbabit dalam mana-mana video muzik. Saya terharu kerana dia memilih Ragaman sebagai video muzik pertama lakonannya,” kata Faizal lagi.

Video muzik itu juga dikira istimewa kerana ia menampilkan dua anak perempuan Faizal sendiri, yang turut menyumbangkan suara dalam lagu terbabit.

Faizal pernah menampilkan anaknya dalam video muzik Sayang, sebelum ini.

“Saya sentiasa mencari peluang untuk membolehkan anak terbabit sama dengan kerja saya. Saya mahu mereka berasakan masing-masing turut membantu saya.

“Begitupun, membimbing dan mengawal anak kecil untuk melakukan kerja seperti ini bukanlah tugas mudah. Kita memang kena banyak bersabar kerana mereka banyak ragam. Sesuailah dengan lagu Ragaman. Namun, saya suka bekerja dengan anak saya. Ia membuatkan kami lebih rapat sebagai sebuah keluarga,” katanya.

Sumber: Berita Harian