WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

HAFIZ MASIH BERIKHTIAR UNTUK PULIH

Hafiz sedia galas tanggungjawab bimbing bakat baharu menerusi Mentor 7


Back To Whats Hot

Penyanyi, Hafiz Suip, 28, yang menderita masalah sakit tulang belakang atau slipped disc sejak tiga tahun lalu masih perlu menjalani rawatan fisioterapi tiga kali seminggu.

Katanya, doktor memaklumkan sakitnya itu sukar sembuh, namun rutin terapi fungsi mengikut jadual dapat membantu mengurangkan penderitaan yang ditanggungnya.

"Penyakit ini memang tiada penawar, namun saya reda dengan ketentuan. Saya mengikut segala nasihat pakar supaya menjalani fisioterapi, selain tidak mengangkat barang berat.

"Ikutkan saya tidak boleh culas mengikuti latihan terapi fungsi itu kerana ia banyak membantu melancarkan urusan harian. Alhamdulillah, kerjaya seni saya tidak terganggu dan segala-galanya berjalan dengan baik," katanya selepas uji bakat Mentor musim tujuh (Mentor 7), kelmarin.

Sebelum ini, Hafiz memaklumkan dia tidak dibenarkan melakukan kerja berat termasuk mendukung anak sulungnya, Muhammad Riyadh Zafri yang kini mencecah usia sembilan bulan.

Sementara itu, Hafiz yang menggalas tanggungjawab sebagai mentor untuk program realiti, Mentor 7 menjadikan rakan seperjuangannya, Hazama dan Akim Ahmad sebagai tempat rujukan apabila diajukan tawaran menggilap bakat pelapis.

Hafiz berkata, dorongan mereka memberinya keyakinan untuk menggalas tanggungjawab itu, malah membuka mata mencari peluang baharu dengan memulakan langkah sebagai penerbit.

"Selain menjadi tempat rujukan, Hazama dan Akim turut memberikan pelbagai tip kerana mereka sudah berpengalaman dalam program itu. Saya juga ada bertanya penyanyi senior, Misha Omar yang menggalas peranan sama dalam Mentor Otai.

"Mereka sangat positif, malah sentiasa memberi kata semangat supaya saya mengambil peluang keemasan ini. Selain mencari bakat pelapis, peluang itu juga dapat dimanfaatkan untuk saya mendalami ilmu dalam bidang penerbitan.

"Selepas lapan tahun menjadi anak seni, sudah tiba masa untuk saya melangkah ke fasa baharu, terutama membabitkan penerbitan lagu," katanya ketika ditemui pada sesi uji bakat, Mentor 7, kelmarin.

Sesi pencarian calon protege penyanyi lagu, Bahagiamu Deritaku itu adalah yang ketiga selepas Datuk Syafinaz Selamat dan Aizat Amdan, sebelum diakhiri Siti Nordiana pada minggu depan.

Menyentuh tiga calon terbaik yang bakal menjadi pilihannya, Hafiz berkata, sepanjang dua hari sesi berlangsung, rata-rata peserta mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk memastikan mereka mampu ke peringkat seterusnya.

"Saya menaruh harapan tinggi kerana kebanyakan yang datang berbakat besar. Cuma, jika ada yang sekadar mahu mencuba nasib untuk muncul di skrin televisyen, saya tidak boleh buat apa-apa.

“Saya mendapat tahu ada di antara peserta yang terlebih dahulu mencuba dalam sesi uji bakat bersama Syafinaz dan Aizat, tetapi tidak terpilih kembali mempertaruhkan nasib. Semangat begini yang kita cari.

‘”Tetapi, semangat sahaja tidak memadai kerana mereka juga perlu bersedia menyanyikan pelbagai genre lagu," kata calon awal kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu.

Sumber: Berita Harian