WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

'SANGGUP KELUAR DUIT SENDIRI PERTAHAN IRAMA MALAYSIA'

Noraniza berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika dia mengundang arwah menjadi juri program Tingkah Geruh 2018 yang diterbitkannya pada April lalu


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris berkata, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah pernah meluahkan kegusarannya terhadap masa depan muzik itu sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Noraniza berkata, arwah pernah menyatakan kebimbangannya terhadap nasib irama Malaysia yang agak terpinggir apabila tiada anak muda yang berani menggalas tanggungjawab memperjuangkan muzik itu.

“Pak Ngah begitu serius meluahkan kerisauannya kerana bimbang tiada siapa yang akan meneruskan usahanya. Arwah sempat berpesan supaya saya teruskan perjuangan selagi terdaya.

“Pesanan arwah itu umpama tamparan dan sangat meninggalkan kesan. Insya-Allah, selagi masih bernyawa, saya akan cuba mempertahankan irama tradisi kita supaya tidak lenyap ditelan masa,” katanya.

Noraniza berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika dia mengundang arwah menjadi juri program Tingkah Geruh 2018 yang diterbitkannya pada April lalu.

“Arwah memuji usaha saya itu, malah berharap program itu diperluaskan hingga ke peringkat Asia. Arwah memang bersungguh sungguh mahu bantu saya, malah sanggup mengeluarkan untuk merealisasikan impian itu,” katanya.

Sejak pertemuan itu, Noraniza yang popular dengan lagu Dikir Puteri berkata, mereka banyak berkomunikasi menerusi telefon. Kebiasaannya, arwah mengambil masa agak lama untuk membalas setiap mesej yang dihantar.

“Tetapi sejak dua minggu lalu, arwah begitu cepat membalas. Arwah juga jarang memberi komen di laman sosial, namun kebelakangan ini kerap berbalas komen. Tidak sangka itu antara petanda arwah akan pergi meninggalkan kita,” katanya.

Pak Ngah menghembuskan nafas terakhir pada 26 September lalu, jam 3.05 petang kerana komplikasi penyakit seperti jantung, paru-paru berair, kencing manis dan darah tinggi.

Sementara itu, penyanyi, Syura Badron pula memaklumkan dia sepatutnya menjayakan projek single terbaru bersama arwah, termasuk merakamkan lagu raya yang dicipta Pak Ngah.

“Hasrat itu tertangguh kerana lagu yang diberikan arwah tidak bersesuaian dengan selera saya yang inginkan sentuhan segar. Namun, Allah lebih menyayangi Pak Ngah.

“Sedih rasanya apabila beberapa perancangan kami tidak kesampaian, tetapi siapa kita untuk menolak ketentuan takdir,” kata Syura yang kali terakhir mendapatkan khidmat arwah menerusi lagu Candak yang turut mara sebagai finalis Anugerah Juara Lagu ke-21.

Sementara itu, Datuk Nassier Wahab juga terkilan apabila hasrat mendapatkan khidmat arwah bagi penghasilan album tradisional kini tinggal kenangan.

“Perancangan itu sudah lama, tetapi tertangguh kerana kesibukan masing-masing. Ketika saya dikurniakan pingat yang membawa gelaran Datuk, arwah antara yang terawal mengucapkan tahniah.

“Arwah turut bertanya, bila saya mahu merakamkan lagu ciptaannya. Namun, semua itu tidak kesampaian apabila arwah terlebih dahulu pergi,” kata penyanyi lagu Memori Cinta Luka itu.

Sumber: Berita Harian