WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

EDRY BUKA SYARIKAT DI MANCHESTER DEMI ANAK

Saya memilih Manchester kerana di sana ada sekolah terbaik untuk anak autisme


Back To Whats Hot

Penerbit dan komposer, Edry Abdul Halim, 42, menubuhkan syarikat, KRU Entertainment United Kingdom Limited demi melihat anak ketiganya, Emery, 11, yang menghidap autisme mendapat pendidikan sempurna.

Syarikat yang berpangkalan di Manchester, United Kingdom (UK) itu akan memulakan operasi penuh penghujung tahun ini dan berperanan sebagai ejen promosi bagi membawa artis Asia serta antarabangsa mengadakan persembahan di dalam dan luar negara.

"Saya memilih Manchester kerana di sana ada sekolah terbaik untuk anak autisme. Saya belum mendaftarkan lagi anak kerana sesi persekolahan hanya bermula September ini.

"Saya akan lihat dulu perkembangan Emery dalam tempoh setahun atau dua tahun ini, jika tidak bersesuaian, dia mungkin dipindahkan ke sekolah lain.

"Menerusi syarikat ini, saya akan mencungkil bakat baharu di sana, selain menjadi ejen promoter untuk konsert artis antarabangsa di Malaysia dan Asia.

"Ia masih dalam proses penubuhan, insya-Allah hujung tahun ini akan beroperasi sepenuhnya," katanya yang ditemui di majlis tayangan perdana dunia filem, Wheely, di sini, malam tadi.

Pulang ke tanah air selama seminggu bagi memberi sokongan kepada penerbitan filem animasi abangnya, Datuk Norman Abdul Halim, Edry berkata peluang itu juga dimanfaatkan untuk melepas kerinduan terhadap keluarga selepas lebih sebulan menetap di UK.

Selain itu, Edry juga masih menguruskan empat artis naungan KRU yang memerlukannya berulang-alik dari Manchester ke Kuala Lumpur.

"Walaupun berjauhan, tidak susah menguruskan mereka kerana kami boleh berkomunikasi menerusi FaceTime dan Skype. Segala perbincangan dan komunikasi hanya menerusi media sosial.

"Jika perlu, saya akan pulang ke ibu kota bersendirian. Anak juga masih belum faham mengapa kami ke sana dan menyangka sedang bercuti. Kami bawa mereka berjalan-jalan dulu sebelum sesi persekolahan bermula," katanya.

Edry mendirikan rumah tangga dengan Milia Mohammed pada November 1999 dan dikurniakan empat cahaya mata; Emil, Edylia, Emery serta Elya.

Sumber: Berita Harian