WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

HAFIZ PENDAM KEINGINAN DUKUNG ANAK

Hafiz masih menjalani rawatan kecederaan tulang belakang yang dihadapi sejak tiga tahun lalu


Back To Whats Hot

Penyanyi, Hafiz Suip terpaksa memendam keinginan untuk mendukung anak sulungnya, Muhammad Riyadh Zafri yang kini berusia tujuh bulan gara-gara kecederaan tulang belakang sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sebagai langkah keselamatan, selain mengelak kecederaan dialami berulang, dia dinasihatkan supaya tidak mengangkat dan melakukan kerja berat, termasuk mendukung anak kecilnya.

"Sedih juga tidak dapat mendukung anak yang sudah semakin aktif. Tetapi, saya tidak mahu berterusan bersedih, sebaliknya saya belajar untuk reda menerima ujian ini.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin positif selepas mendapatkan rawatan daripada pakar tulang belakang dan menjalani fisioterapi secara berjadual.

"Kalau dulu, sakit menyerang tidak tentu masa, namun sekarang ia lebih terkawal. Saya juga tidak lagi bergantung kepada ubat penahan sakit," katanya ketika ditemui pada sidang media program realiti, Mentor musim ketujuh.

Muhammad Riyadh Zafri yang dilahirkan pada 30 Disember tahun lalu adalah cahaya mata sulung Hafiz, 28, dan isteri, Nureffy Jesreel Abdullah atau Effy, 26.

Mengulas lanjut penderitaan yang ditanggungnya itu, Hafiz berkata, kekangan itu tidak menghalangnya menjalani gaya hidup aktif, malah masih ligat memenuhi undangan persembahan pentas.

"Ujian ini saya anggap sebagai peringatan Allah supaya tidak melupakan-Nya. Jangan tunggu sehingga ditimpa sakit berat, baru teringat Allah. Saya terima ujian ini dengan berlapang dada kerana di luar sana ramai lagi berdepan dugaan lebih besar.

"Saya bersyukur masih mendapat kepercayaan penganjur dan stesen TV. Contohnya, saya mendapat kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai mentor dalam Mentor musim terbaru.

"Peluang seperti ini memberikan saya ruang berkongsi pengalaman dengan bakal protege, pada masa sama mencari bakat baharu untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan sendiri," katanya.

Selain Hafiz, program yang bakal memulakan pencarian protege di Sabah dan Sri Pentas, Bandar Utama bermula 8 Ogos ini turut membariskan Datuk Syafinaz Selamat, Aizat Amdan dan Siti Nordiana.

Sumber: Berita Harian