WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

MARIAH CAREY MENGAKUI DIRINYA ALAMI GANGGUAN BIPOLAR

Mariah tidak menyedari dirinya sedang mengalami fasa mania


Back To Whats Hot

LOS ANGELES: Bintang pop Mariah Carey pada Rabu mendedahkan dirinya menderita gangguan bipolar dalam sebuah wawancara, dan mengakui telah didiagnos pada tahun 2001 dan hanya baru-baru ini mula mengambil ubat-ubatan.

Mariah memberitahu majalah hiburan People, bahawa diagnosis mengenai hal itu diterima ketika berada di hospital, berikutan mengalami kemurungan emosi dan fizikal. Ketika itu, dia sedang dikritik teruk menerusi filem Glitter.

Dia memberitahu, pada awalnya dia tidak mahu mempercayainya, dan hanya akhir-akhir ini rasa terbuka untuk menerima rawatan.

"Saya hidup dalam penafian dan memencilkan diri. Saya juga kerap berasa takut jika seseorang mendedahkan tentang diri saya.

"Ia suatu beban yang sangat berat untuk ditanggung dan saya tidak mampu melakukannya lagi. Saya mencari dan menerima rawatan. Saya dekati mereka yang positif di sekeliling saya dan saya kembali melakukan perkara yang saya cintai – menulis dan menghasilkan lagu,” ujar Mariah.

Pelantun lagu Vision of Love itu berkata, dia mengambil ubat-ubatan bagi gangguan jenis bipolar II, iaitu gangguan yang dikategori sebagai 'mengalami perubahan mood yang kurang serius antara kemurungan dan hiperaktif'.

"Dalam tempoh yang lama, saya sangkakan saya mengalami gangguan tidur yang teruk.

"Namun, ia bukan insomnia yang biasa dan saya tidaklah terjaga dan mengira biri-biri untuk kembali tidur. Saya ketika itu hanya bekerja, bekerja dan bekerja. Saya mudah tersinggung dan sering ketakutan jika mengecewakan orang lain. Rupa-rupanya saya mengalami sejenis mania,” ujarnya.

Mariah mendedahkan perkara itu kepada umum selepas sekian lama mengalami pelbagai dugaan dalam hidupnya. Ini termasuk perceraiannya dengan pengacara dan pelawak Nick Cannon, selain pertunangan profil tinggi pada 2016 dengan usahawan bilionair Australia, James Packer.

Tambahnya, dia kini mengambil ubat-ubatan yang ‘tidak terlalu menjadikan dirinya rawa penat atau malas’ dan sedang dalam proses menghasilkan album baharu yang bakal dilancarkan tahun ini.

"Saya dalam tempat yang terbaik sekarang, iaitu saya selesa bercakap tentang cabaran saya dengan gangguan bipolar II ini.

“Saya amat berharap kita akan sampai ke satu keadaan bebas stigma dan seseorang itu tidak lagi perlu menghadapi situasi seumpamanya bersendirian,” ujarnya.

Sumber: Awani