• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

169 PENDAKI GUNUNG KINABALU DIARAH TURUN

Para pendaki di Laban Rata berkumpul di tempat selamat selepas gempa bumi berukuran 5.2 skala Richer melanda Ranau


Back To Whats Hot

KOTA KINABALU 8 Mac - Jabatan Taman-Taman Sabah mengarahkan semua 169 pendaki Gunung Kinabalu yang berada di Laban Rata untuk turun ke Timpohon Gate serta merta berikutan gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter yang berlaku di Ranau pada pukul 9.06 malam tadi.

Seorang pegawainya ketika dihubungi Utusan Online berkata, langkah tersebut diambil sebagai langkah keselamatan selepas gempa yang berpusat di Ranau pada kedalaman lima kilometer di dalam tanah menggegar pantai barat Sabah.

Katanya, tiada sebarang kecederaan atau kejadian tidak diingini dilaporkan namun pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, berikutan gempa tersebut, gegaran selama antara lima hingga 10 saat turut dirasai di Kota Kinabalu, Kota Belud, Sipitang, Papar dan Tongod.

Seorang penghuni rumah pangsa di Kepayan, Ronald Rodriguez Junior, ketika ditemui berkata, dia sedang menikmati makan malam apabila tiba-tiba sahaja kediamannya bergegar menyebabkan dia panik.

"Ini bukan kali pertama berlaku gegaran jadi saya terus berlari keluar dari rumah untuk memastikan keselamatan diri.

"Saya harap tiada apa-apa kejadian buruk berlaku kerana gempa bumi tadi agak kuat juga," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Online di pasar raya 1Borneo di sini mendapati para pengunjung di dalamnya bergegas meninggalkan bangunan berkenaan untuk keselamatan.

Pada 5 Jun 2015, sebanyak 18 pendaki maut apabila gempa bumi berukuran 6 skala Richter menggegar Gunung Kinabalu.

Gempa bumi berkenaan merupakan yang terburuk berlaku di negara ini kerana mengakibatkan kehilangan nyawa.

Sumber: Utusan Online