• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

BANJIR SARAWAK: 57 SEKOLAH TERPAKSA DITUTUP

Keadaan banjir di negeri ini beransur pulih dengan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan


Back To Whats Hot

KUCHING: Walaupun keadaan banjir di negeri ini beransur pulih dengan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan, bilangan sekolah yang terjejas bagaimanapun semakin meningkat hari ini.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memaklumkan sebanyak 57 sekolah di 13 daerah terpaksa ditutup membabitkan seramai 6,274 murid.

Daripada jumlah itu, daerah Mukah dan Baram mencatat jumlah tertinggi, masing-masing dengan 10 sekolah; Sibu (8), Selangau (7), Limbang (6), Dalat (5), Bintulu (2), Baram (2) manakala Serian, Julau, Sebauh dan Belaga masing-masing satu sekolah.

Penutupan sekolah terbabit dilakukan berikutan paras air mencapai tahap berbahaya dengan ada bangunan yang ditenggelami air dan kebanyakkan jalan tidak dapat dilalui.

Sembilan sekolah masih dijadikan PPS membabitkan sebuah sekolah menengah dan lapan sekolah rendah.

Sekolah terbabit iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Mang, SK Tanah Puteh, SK Bukit Arip, SK Pengkalan Sorak Melayu, SK Kuala Serupai, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tong Ah, AJKC Cheng Hua dan Sekolah Menengah Kebangsaan Julau No 2.

Sementara itu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, seramai 4,444 mangsa banjir daripada 1,383 keluarga masih ditempatkan di 24 PPS di negeri ini.

Ia membabitkan 106 mangsa di Kota Samarahan, Serian (1,201), Sibu (1,175), Mukah (100), Bintulu (1,532), Limbang (322) dan Sarikei (8).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan sungai di lima kawasan iaitu di Sibu, Mukah Bintulu, Miri dan Limbang mencatat paras air pada tahap bahaya.

Lima kawasan di Kota Samarahan, Sibu, Mukah dan Miri pula mencatat bacaan paras air pada tahap amaran manakala lapan kawasan di Serian, Sri Aman dan Bintulu pula pada tahap bahaya.

Sumber: Berita Harian online