WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

KERANA PORNOGRAFI, MENTERI BRITAIN LETAK JAWATAN


Back To Whats Hot

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May memaksa menteri paling kanannya, Damian Green, untuk meletak jawatan, hari ini, susulan hasil siasatan kes berkaitan pornografi terhadapnya.

Siasatan dalaman yang dijalankan mendapati Green memberi kenyataan mengelirukan mengenai bahan pornografi yang ditemui pada komputer di pejabatnya di parlimen.

Pengunduran sekutu paling dipercayai May terutama ketika parti di ambang perpecahan adalah satu tamparan hebat buatnya yang perlu mengemudi tahun terakhir rundingan Brexit sebelum Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) pada Mac 2019.

Green, 61 dilantik sebagai setiausaha pertama negara, enam bulan lalu.

Akhbar Sunday Times, bulan lalu melaporkan polis menemui bahan pornografi pada komputer di pejabat Green di Dewan Parlimen. Green menafikan dakwaan itu.

May yang meminta kajian semula dilakukan seorang pegawai kanan kerajaan, menyimpulkan kenyataan Green bahawa dia tidak menyedari ada bahan tidak senonoh dijumpai di komputer sebagai 'tidak tepat dan mengelirukan.'

"Saya kesal kerana diminta untuk meletak jawatan daripada kerajaan berikutan pelanggaran peraturan Menter, dan saya minta maaf," kata Green dalam satu surat kepada May.

Beliau adalah menteri kabinet May yang ketiga meletak jawatan sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas setiausaha pertahanan berhenti pada November lalu kerana pernah melanggar standard kelakuan yang diperlukan.

Menteri bantuannya meletak jawatan seminggu kemudian selepas mengakui mengadakan pertemuan rahsia dengan pegawai Israel. - REUTERS