WHAT'S NEXT

#CNO912

09.00pm - 12.00am

MATIC NAFI BERTELAGAH DENGAN SOLSKJAER

Nemanja Matic menegaskan dia tidak ‘bermasam muka’ dengan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer


Back To Sports Updates

LONDON: Nemanja Matic menegaskan dia tidak ‘bermasam muka’ dengan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer sekali pun pemain tengah Manchester United itu bergelut untuk mendapat kepercayaan di Old Trafford.

Matic masih belum disenaraikan dalam kesebelasan utama United musim ini dengan pemain berusia 31 tahun itu membuat penampilan sulungnya dari bangku simpanan, minggu lalu.

Selepas disenarai sebagai pemain gantian dalam tiga perlawanan awal Liga Perdana tetapi tidak diturunkan, pemain kelahiran Serbia itu akhirnya berada di atas padang selama 22 minit ketika United seri 1-1 dengan Southampton.

Solskjaer tampak lebih berminat untuk menggandingkan Paul Pogba dan Scott McTominay di bahagian tengah tetapi Matic yang ketika ini bersama skuad kebangsaannya menjelaskan ia adalah hak pengendali itu.

“Dalam dua atau tiga perlawanan awal, dia membuat keputusan untuk tidak menggunakan khidmat saya,” kata Matic. “Saya bekerja sekeras yang mungkin, kami menghormati keputusannya, adalah tugas saya untuk menunjukkan yang dia salah dan perlu membawa saya kembali ke tempat yang sepatutnya.

“Tiada sebarang masalah. Saya memberitahunya yang saya tidak bersetuju dengannya, tetapi dia yang perlu membuat keputusan membabitkan pasukan. Saya sudah lama berada di arena ini, saya bermain hampir kesemua perlawanan untuk kelab sejak 10 tahun yang lalu.

“Bagi memberikan saya peluang untuk bermain, seseorang perlu berada di bangku simpanan, dan menerima hakikat, dan saya mengalaminya ketika ini. Jurulatih perlu memilih pasukan yang bermain untuk menjulang kejuaraan, dan jika dia tidak menang, dia memikul tanggungjawab.”

Bagi tugasan antarabangsa, kali terakhir Matic menyarung jersi kebangsaan adalah ketika Serbia menewaskan Montenegro 2-1 pada Liga Negara-Negara Eropah, November tahun lalu.

Sabtu ini, Serbia akan menerima kunjungan Portugal di Belgrade bagi aksi kelayakan Kumpulan B Euro 2020.

Sumber: Berita Harian