• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

FOKUS KEPADA TUGASAN SKUAD NEGARA - CHENG HOE

CHENG HOE: Pemain harus letak tanggungjawab bersama kelab di belakang dan beri tumpuan bersama skuad negara terlebih dahulu


Back To Sports Updates

 

SHAH ALAM: Pelatih skuad Harimau Malaya disaran supaya melupakan masalah dengan kelab masing-masing dan memberi tumpuan sepenuh dalam membantu skuad negara pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula awal bulan depan.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mengakui ada mendengar beberapa permasalahan melibatkan beberapa pemain termasuk penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dengan Perak.

Namun beliau menuntut mereka melupakan seketika perkara berkenaan kerana Malaysia bakal berdepan cabaran getir tiga seteru ASEAN iaitu Thailand, Indonesia dan Vietnam selain pasukan Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan G pusingan kelayakan.

"Pemain harus letak tanggungjawab bersama kelab di belakang dan beri tumpuan bersama skuad negara terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pemberita sebelum bermulanya hari keempat sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Muhammad Shahrel Fikri yang dilaporkan memadam gambar beliau bersama Perak dalam laman instagramnya selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan pengendali Perak, Mehmet Durakovic meletakkan pemain berusia 24 tahun itu dalam bangku simpanan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata beliau masih menilai kesebelasan utama yang akan diturunkan untuk aksi pemanas badan menentang pasukan ranking ke-99 dunia, Jordan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Cheng Hoe menjelaskan, fokus latihan sebelum menghadapi Jordan lebih tertumpu mencari keserasian pemain dan mempertajamkan taktikal skuad kebangsaan, sambil memaklumkan beberapa pemain muda yang dipanggil pada sesi latihan kali ini turut mempamerkan komitmen terbaik.

Ditanya mengenai status pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh, katanya, pemain naturalisasi kelahiran Gambia itu sah tidak diturunkan pada perlawanan Jumaat ini susulan masalah kecederaan pangkal yang masih membelenggu pemain Pahang berkenaan.

Perlawanan dengan Joran itu merupakan persediaan skuad kebangsaan sebelum menghadapi Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, 5 Sept ini.

Sumber: BERNAMA