WHAT'S NEXT

ANTAP BREAKFAST BABA'S

06.00am - 10.00am

GUARDIOLA PERCAYA CITY TINGKATKAN TARAF DALAM LIGA PERDANA

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, percaya pasukannya sudah meningkatkan taraf dalam Liga Perdana Inggeris


Back To Sports Updates

MANCHESTER, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, percaya pasukannya sudah meningkatkan taraf dalam Liga Perdana Inggeris apabila kembali merampas pendahuluan liga dari Liverpool dengan kelebihan satu mata selepas menewaskan Manchester United 2-0 di Old Trafford Rabu lepas.

Bernardo Silva dan Leroy Sane menjaringkan gol untuk pasukan pelawat dalam tempoh 12 minit dalam separuh masa kedua untuk memberikan kekalahan ketujuh dari sembilan perlawanan buat United, yang kekal tiga mata di luar empat tangga teratas liga.

City tidak dapat menyamai rekod 100 mata ketika muncul juara liga musim lepas tetapi kemenangan ke atas Burnley, Leicester dan Brighton selepas ini akan mengesahkan kejuaraan liga dengan 98 mata dan memastikan penantian 29 tahun Liverpool untuk kejuaraan liga akan berterusan walaupun mencipta rekod kutipan mata kelab dalam era Liga Perdana.

“Kami sudah menaikkan tahap untuk Liga Perdana musim lepas dengan 100 mata. Ia adalah tahap yang perlu dikejar Liverpool. Apa yang mereka telah lakukan adalah hebat tetapi semuanya berada di tangan kami sekarang,” kata Guardiola.

“Kedua-dua pasukan selayaknya kejuaraan tetapi hanya satu pasukan yang berhak memenanginya. Pasukan yang akan kalah tidak boleh berasa kesal kerana mereka telah memberikan segala-galanya.”

Kunjungan City ke Old Trafford dianggap sebagai halangan besar terakhir buat City walaupun dengan prestasi buruk United sejak beberapa minggu.

Bagaimanapun, Guardiola memberi amaran di mana keadaan mungkin berubah sebelum ujian berbeza menentang Burnley Ahad ini.

“Kebiasaannya, dengan kemenangan seperti ini, anda paling gembira tetapi kami harus bertenang,” kata Guardiola.

“Sekarang kami akan ke Burnley dan kami tahu betapa sukar perlawanan itu nanti. Ia penting untuk bertenang. Kami masih belum muncul juara dengan baki tiga perlawanan – ia hebat dengan mata yang kami kumpul dan begitu juga Liverpool.

“Saya memberitahu pemain untuk tidak membaca akhbar esok, jangan menonton televisyen, hanya rehat dan tidur.”

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, menyelar sikap pemainnya selepas dimalukan 0-4 di Everton minggu lepas dan beliau mendapat ganjaran dengan aksi lebih bertenaga walaupun City kelihatan memiliki kualiti yang lebih menyerlah.

“Mereka menetapkan mutu dalam beberapa musim terakhir. Mereka merupakan pasukan terbaik di negara ini dan ia adalah tahap mutu yang mahu kami capai,” akui Solskjaer.

Namun, kekalahan Arsenal di Wolves bermakna United masih mempunyai peluang memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara, sekiranya menewaskan Chelsea di Old Trafford Ahad ini.

“Saya bimbang tentang keputusan buruk,” tambah Solskjaer.

“Realitinya ialah kami masih mempunyai peluang dalam saingan empat tangga teratas. Kami memerlukan lebih kualiti pada hari Ahad ini kerana kami perlu menang perlawanan itu dan jika kami menang, kami mempunyai dua perlawanan untuk mengutip mata untuk mencapai sasaran kami.”

Solskjaer kecewa dengan tahap kecergasan pemainnya sejak beberapa minggu dan sekarang lagi selepas permulaan memberangsangkan, mereka mula hilang rentak apabila City mencipta beberapa peluang.

“Kami tahu apa yang silapnya, ia tentang mentaliti dan kesediaan untuk berlari untuk pasukan anda,” kata penyerang United, Marcus Rashford.

“Lupakan empat tangga teratas dan Liga Juara-Juara. Kami harus mengatasi masalah ini dan bermain seperti Manchester United untuk diri kami sendiri.”

Raheem Sterling mempunyai peluang awal untuk City tetapi rembatan penyudah beliau terlalu dekat dengan penjaga gol David De Gea sebelum cubaan Sergio Aguero tersasar ketika City menguasai lewat separuh masa pertama.

Tetapi pertukaran pada masa rehat memihak kepada City apabila Guardiola memasukkan Sane untuk menggantikan Fernandinho yang mengalami kecederaan apabila Bernardo membuka jaringan sebelum Sane menjaringkan gol kedua.

Sumber: Utusan Borneo