WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 02.00pm

AJAX PERCAYA PERSAINGAN KE SEPARUH AKHIR MASIH TERBUKA

Ajax Amsterdam percaya mereka masih bersaing dalam Liga Juara-Juara walaupun diikat 1-1 di tempat sendiri


Back To Sports Updates

AMSTERDAM, Belanda: Ajax Amsterdam percaya mereka masih bersaing dalam Liga Juara-Juara walaupun diikat 1-1 di tempat sendiri oleh Juventus pada perlawanan suku akhir pertama Rabu lepas.

Penyerang sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo, meletakkan juara Serie A Itali itu di hadapan pada masa rehat tetapi David Neres berjaya mengikat kedudukan 30 saat selepas permainan disambung semula.

“Keputusan seri 1-1 di tempat sendiri sememangnya bukan apa yang kami harapkan tetapi ia masih satu keputusan yang baik,” kata jurulatih Ajax, Erik ten Hag.

“Kali terakhir kami tewas 1-2 di tempat sendiri ialah kepada Real Madrid, jadi semuanya masih terbuka.”

Ajax mengejutkan juara bertahan, Real Madrid 1-4 di gelanggang lawan pada perlawanan kedua pusingan kedua kejohanan, selepas tewas di tempat sendiri dan mereka akan cuba memburu satu lagi kejutan di Turin minggu hadapan.

“Kami mempunyai sebuah pasukan dengan potensi dan kami sudah menunjukkannya dalam Liga Juara-Juara. Kami tidak melangkah ke suku akhir secara kebetulan,” kata kapten pasukan, Matthijs de Ligt.

“Pada perlawanan kedua, kami harus memberikan segala-galanya kerana Juventus adalah pasukan yang hebat.”

Ten Hag memuji aksi pasukannya walaupun mereka tidak mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol Juventus.

“Dalam banyak fasa permainan, kami kelihatan lebih bagus,” kata beliau. “Kami beraksi cemerlang ketika melancarkan serangan. Juventus mendapati ia sukar untuk memberi tekanan kerana kami mengawal bola, kami bermain dengan sabar dan mencipta peluang.”

Tetapi beliau mengakui Juventus sentiasa berbahaya, diketuai oleh Ronaldo yang sudah menjaringkan 125 gol dalam Liga Juara-Juara setakat ini.

“Jika anda melakukan kesilapan, mereka akan menghukum anda. Kita dapat lihat dari gol Cristiano Ronaldo. Walaupun jika anda mengawalnya, beliau cukup pantas sekali,” tambah Ten Hag.

Sumber: Utusan Borneo