WHAT'S NEXT

#CNO912

09.00pm - 12.00am

MESSI, SUAREZ KETUAI KEBANGKITAN BARCA BENAM RAYO VALLECANO 3-1

Lionel Messi dan Luis Suarez mungkin boleh direhatkan tetapi kedua-dua pemain itu bermain dan menjaringkan gol ketiga


Back To Sports Updates

MADRID, Sepanyol: Lionel Messi dan Luis Suarez mungkin boleh direhatkan tetapi kedua-dua pemain itu bermain dan menjaringkan gol ketiga Barcelona bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Rayo Vallecano dalam aksi La Liga Sepanyol Sabtu lepas, beberapa hari sebelum perlawanan penting Liga Juara-Juara menentang Lyon.

Raul de Tomas mengejutkan Barca dengan gol pembukaan Rayo pada perlawanan di Nou Camp tetapi Messi menyempurnakan satu tendangan penalti dan Suarez melengkapkan satu pergerakan cantik untuk mengesahkan kemenangan 3-1, selepas Gerard Pique mengikat kedudukan buat Barce.

Ketika Barcelona memulakan perlawanan, Atletico Madrid menamatkan perlawanan dengan menewaskan Leganes 1-0, walaupun jurulatihnya, Diego Simeone lebih berhati-hati dengan merehatkan Antoine.

Griezmann, Alvaro Morata dan Saul Niguez, untuk perlawanan kedua pusingan kedua menentang Juventus Selasa ini.

“Ia normal apabila ada perlawanan penting pada hari Selasa,” kata Simeone, yang mengeluarkan Griezmann pada masa rehat. “Beliau tidak cedera, beliau telah memberikan apa yang beliau mampu.”

Sentiasa ada risiko di mana dua pasukan teratas liga hilang sedikit fokus kerana perlawanan di antara Barca-Lyon masih terbuka selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama sementara Atletico membawa kelebihan 2-0 dari perlawanan pertama.

“Kami mempunyai perlawanan yang penting Rabu ini,” kata jurulatih Ernesto Valverde. “Kami tahu kepentingan kerana lawan, pertandingan dan kerana kami sudah melihat apa yang telah berlaku kepada pasukan besar setakat ini.”

Namun kedua-dua pasukan mengelak memberikan sebarang peluang kepada Real Madrid, yang semakin ketinggalan sebelum perlawanan lewat di Real Valladolid.

Barca kekal tujuh mata di hadapan Atletico, dan mungkin untuk seketika, 15 mata di hadapan Real Madrid.

Walaupun dengan pendahuluan 2-0 pada lapan minit terakhir, Valverde tidak mengeluarkan Messi dan Suarez sehingga tamat permainan, sesuatu yang mungkin mengejutkan bagi beberapa pihak kerana beliau dituduh meletihkan pemain utama musim lepas untuk memburu kejayaan di Eropah.

Aksi Messi adalah yang ke-443 untuk Barca dalam La Liga, meletakkan beliau di hadapan Andres Iniesta dan di belakang Xavi Hernandez (505) dalam senarai pemain paling banyak beraksi untuk kelab.

Samuel Umtiti membuat penampilan kesebelasan utama buat kali kedua dalam tempoh tiga bulan selepas pulih dari kecederaan.

“Sedikit demi sedikit beliau sudah mencapai tahap sebenar prestasinya,” kata Valverde.

Tetapi Philippe Coutinho sekali lagi beraksi hambar walaupun diturunkan dalam kesebelasan utama berbanding Ousmane Dembele.

Beliau mensia-siakan peluang awal dari umpanan Messi sebelum De Tomas meletakkan Rayo di hadapan.

Pique mengikat kedudukan dari satu tendangan percuma Messi untuk gol keenam beliau musim ini sebelum Barca menguasai permainan dan melengkapkan kemenangan menerusi gol penalti Messi dan gol Suarez dalam separuh masa kedua.

Sumber: Utusan Borneo