WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

FAS REHATKAN MOHD FARHAN DAN DAVID

Susulan kekalahan memalukan 4-0 di tangan UKM FC malam kelmarin, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengambil langkah drastik


Back To Sports Updates

KUCHING: Susulan kekalahan memalukan 4-0 di tangan UKM FC malam kelmarin, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengambil langkah drastik dengan merehatkan ketua jurulatih, Mohd Farhan Abdullah atau Anai dan penolongnya, David Usop berkuat kuasa serta-merta.

Presiden FAS, Datuk Posa Majais ketika dihubungi semalam berkata keputusan itu diambil ekoran prestasi merudum Sarawak kebelakangan ini dengan mencatat kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Premier 2019.

“Saya cukup kecewa dengan kekalahan Sarawak di tangan UKM FC malam tadi (kelmarin). Justeru, FAS tidak mempunyai pilihan kecuali terpaksa merehatkan ketua jurulatih dan penolong jurulatih berkuat kuasa serta-merta,” katanya dengan nada kecewa ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, FAS akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk mencari ketua dan penolong jurulatih yang baharu bagi mengisi kekosongan tersebut.

Beliau menambah, buat sementara waktu skuad itu akan dikendalikan penolong jurulatih, Mohammad Denny Da’ail dan dibantu Ronald Hikspoors.

Untuk rekod, Sarawak hanya mengutip tiga mata selepas mengharungi lima perlawanan kempen Liga Premier 2019 setakat ini.

Kekalahan teruk di tangan UKM FC malam kelmarin adalah yang keempat justeru meletakkan skuad Ngap Sayot itu pada zon bahaya dengan berada di kedudukan ke-10 ketika ini.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam kelmarin, pasukan tuan rumah (UKM FC) tidak menunggu lama untuk menghukum benteng Sarawak dengan menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti disudahkan oleh pemain import, Michael Ijezie pada minit kelapan.

UKM semakin selesa selepas dihadiahkan satu lagi sepakan penalti yang disempurnakan oleh bekas penyerang Sarawak, Mateo Roskam pada minit ke-84.

Benteng pertahanan Sarawak seperti hilang punca apabila melepaskan dua gol dalam masa tambahan menerusi Hariz Fazrin, pada minit ke-90 (+3) dan Mohd Akmal (minit ke-90+8).

Sumber: Utusan Borneo
oleh Harry Ilias