WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

LIVERPOOL LEPASKAN PELUANG JARAKKAN KEDUDUKAN DI PUNCAK LIGA

Liverpool mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan impian memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila diikat 1-1 oleh Leicester


Back To Sports Updates

LONDON, England: Liverpool mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan impian memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila diikat 1-1 oleh Leicester sementara harapan Chelsea menamatkan saingan di empat tangga teratas liga juga tersentak dengan kekalahan memalukan 0-4 di Bournemouth Rabu lepas.

Selepas pencabar terdekat, Manchester City tewas di Newcastle United pada perlawanan hari Selasa, Liverpool mempunyai peluang menjarakkan kedudukan di singahsana liga dengan kelebihan tujuh mata jika menewaskan Leicester.

Tetapi sebaliknya, skuad kendalian Jurgen Klopp, yang memburu kejuaraan liga yang pertama sejak 1990, terpaksa akur dengan keputusan seri yang menyebabkan mereka hanya berkelebihan lima mata berbanding City.

“Kami memberi tekanan ke atas Leicester tetapi kami tidak bernasib baik dengan gol minit akhir sebelum rehat. Anda harus menerima apa yang berlaku,” kata Klopp.

Selepas rehat musim panas di Dubai, Liverpool memulakan permainan dengan meyakinkan apabila membuka jaringan seawal minit ketiga.

Pemain sayapnya, Sadio Mane, melepasi pertahanan Leicester sebelum melakukan rembatan untuk gol ke-11 beliau musim ini.

Ia adalah gol liga terpantas Liverpool sejak April 2016, menyebabkan penyokong kelab mula menyanyikan pujian kepada bekas pengurus Liverpool, Rafael Benitez, yang membimbing kelab semasanya Newcastle United untuk menewaskan City.

Tetapi Liverpool hilang rentak dengan mendadak dan pemain pertahanan Leicester, Harry Maguire, menghukum kealpaan pemain pertahanan tengah Liverpool, Virgin van Dijk untuk menanduk umpanan Ben Chilwell dan mengikat kedudukan beberapa saat sebelum rehat.

Liverpool tidak bernasib baik tidak diberikan tendangan penalti selepas Naby Keita dikasari Ricardo Pereira.

“Ia mungkin situasi penalti yang paling jelas yang kami perolehi. Anda harus bertanya kepada pengadil kenapa penalti tidak diberikan,” kata Klopp.

Ia juga memerlukan ketangkasan penjaga gol Liverpool, Alison Becker untuk menghalang Roberto Firmino dari tertolak bola ke pintu golnya sendiri ketika Liverpool terpaksa akur dengan keputusan seri, sekali gus mengembalikan harapan City untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

Di Dean Court, Chelsea mengalami kekalahan liga kedua berturut-turut, menyebabkan peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara musim hadapan dalam bahaya.

Chelsea, yang memenangi hanya satu dari empat perlawanan liga terakhir, tercicir ke tangga kelima liga – di belakang Arsenal kerana perbezaan gol – dengan Manchester United kini kurang dua mata di belakang.

“Kami bermain dengan sangat buruk. Kami berhenti bermain sebagai sebuah pasukan. Semua orang cuba menyelesaikan masalah secara individu. Saya tidak faham kenapa selepas separuh masa pertama yang bagus, ia bertukar buruk,” kata pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

“Mungkin ia kesalahan saya kerana tidak dapat mengangkat motivasi pemain dalam kumpulan ini. Saya tidak tahu kenapa. Saya harus memahaminya dengan segera.”

Bukan kali pertama musim ini di mana Chelsea beraksi hambar, walaupun dengan Gonzalo Higuain membuat penampilan sulung dalam liga selepas perpindahan pinjaman dari Juventus.

Bournemouth menghukum mereka dengan gol minit ke-47 apabila Josh King menyempurnakan hantaran David Brooks.

Brooks menambah jaringan pada minit ke-63 selepas mudah melepasi kawalan David Luiz.

Penyokong Chelsea terus berang dengan menjerit “anda tidak tahu apa yang anda lakukan” ke arah Sarri apabila mengeluarkan Higuain.

Namun malang Chelsea tidak berakhir apabila King menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga untuk pasukannya pada minit ke-75 sebelum Charlie Daniels melengkapkan jaringan untuk memberikan kekalahan liga terburuk Chelsea dalam tempoh lebih dua dekad.

Pada perlawanan lain, Tottenham Hotspur bangkit bergaya untuk merapatkan kedudukan dengan hanya kurang dua mata di belakang Manchester City selepas menewaskan Watford 2-1.

Selepas satu minggu mengecewakan apabila Spurs tersingkir dari pertandingan Piala Liga Inggeris dan Piala FA Inggeris, Spurs mengembalikan senyuman di Wembley dengan kemenangan.

Watford membuka jaringan pada minit ke-38 selepas kesilapan dari penjaga golnya, Hugo Lloris, yang gagal menangkap kemas satu cubaan dari tendangan sudut, membolehkan Craig Cathcart merembat bola muntah ke pintu gol yang terbuka luas.

Tetapi Son Heung-min, yang kembali ke dalam skuad Spurs buat kali pertama sejak 13 Januari kerana beraksi untuk Korea Selatan di Piala Asia, mengikat kedudukan pada minit ke-80.

Fernando Llorente melengkapkan kemenangan Spurs apabila menanduk umpanan Danny Rose pada minit ke-87.

Southampton seri 1-1 dengan Crystal Palace pada perlawanan di St Mary’s.

Sumber: Utusan Borneo