WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND BEAT

04.00pm - 08.00pm

AZROY TERLEPAS KEJOHANAN DI CHINA EKORAN MASALAH DISIPLIN

PABM mengambil keputusan tegas itu selepas Azroy enggan mengikut perancangan mereka


Back To Sports Updates

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengambil keputusan drastik membatalkan penyertaan badang negara, Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar, daripada menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ekoran masalah disiplin.

PABM mengambil keputusan tegas itu selepas Azroy enggan mengikut perancangan mereka.

Pemenang pingat emas kategori 55kg Sukan Komanwel 2018 itu didakwa jarang berlatih sejak pengendali, Wang Zhi Quan, pulang ke China, sekali gus tidak bersedia menyertai kejohanan antarabangsa.

Skuad negara sepatutnya menyertai Kejohanan Antara Kelab Asia di China, bulan depan yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

"Kami tidak mahu menghantar atlet yang tidak bersungguh-sungguh dan tidak mempunyai motivasi dan disiplin untuk mewakili negara," kata Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat.

Situasi itu bermakna Malaysia hanya akan menghantar atlet kategori 61 kilogram, Aznil Bidin, untuk mengumpul mata kelayakan ke Tokyo 2020.

Sukan Olimpik Rio 2016 menyaksikan Malaysia diwakili Mohd Hafifi Mansor dalam kategori 69kg namun gagal meraih pingat.

Sementara itu, mesyuarat jawatankuasa rayuan PABM yang turut dihadiri wakil Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) mengekalkan hukuman penggantungan terhadap empat atlet positif bahan terlarang.

"Kami berpuas hati dengan keputusan yang diterima tetapi atlet masih lagi boleh melakukan rayuan kepada CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan)," kata Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar.

Sumber: AWANI