WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

KITA AKUR, SARAWAK HANYA VENUE SAHAJA - ABANG JOHARI

Kerajaan Sarawak akur dengan keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) untuk membatalkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah


Back To Sports Updates

KUCHING: Kerajaan Sarawak akur dengan keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) untuk membatalkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung mulai 29 Julai hingga 4 Ogos ini di sini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata, kejohanan tersebut dianjurkan di peringkat antarabangsa sementara Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.

Bagaimanapun, Malaysia mengambil pendirian untuk tidak membenarkan atlet-atlet daripada Israel untuk memasuki negara ini dan menyertai kejohanan tersebut.

"Malaysia mempunyai pendirian tentang penglibatan Israel. Sarawak hanya venue sahaja. Jadi, kita akur dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

"Kerana, ia membabitkan negara. Kita jadi venue sahaja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Experience Sarawak yang diadakan di Kopi O Korner pada Ahad.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri.

Abang Johari berkata demikian mengulas mengenai pembatalan hak tersebut yang diumumkan dalam mesyuarat di London oleh Presiden IPC Andrew Parsons.

Parsons berkata Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengulangi pendirian Malaysia untuk tetap tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan di Kuching itu.

Katanya, kerajaan berdiri teguh dengan keputusannya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin. 

Sebelum ini, mengulas isu sama, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tetap tegas dengan pendiriannya terhadap pendekatan yang diambil ke atas Israel.

"Atlet itu datang dari negara yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa. Mereka buat apa sahaja yang mereka suka," katanya sambil menegaskan setiap negara berhak membenarkan atau menghalang sesiapa pun memasuki wilayahnya.

Sumber: AWANI