WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

BOLT AKHIRNYA MENGALAH, TAMATKAN IMPIAN MENJADI PEMAIN BOLA SEPAK PROFESIONAL

Usain Bolt akhirnya mengalah dalam impiannya untuk membina karier sebagai pemain bola sepak profesional


Back To Sports Updates

KINGSTON, Jamaica: Usain Bolt akhirnya mengalah dalam impiannya untuk membina karier sebagai pemain bola sepak profesional selepas beberapa tempoh cubaan bersama kelab dari Australia, Central Coast Mariners tahun lepas.

Dalam satu kenyataan dilaporkan oleh media tempatan Selasa lepas, jaguh pecut Sukan Olimpik lapan kali itu berkata beliau sudah menamatkan impian untuk bermain bola sepak secara profesional.

Ikon olahraga berusia 32 tahun itu memberitahu wartawan bulan lepas di mana beliau belum berputus asa untuk menjadi seorang pemain bola sepak.

Namun pada satu majlis di sini Isnin lepas, Bolt berkata beliau sekarang merancang untuk memberikan tumpuan kepada karier perniagaannya.

“Saya tidak mahu berkata ia tidak dilakukan dengan sempurna tetapi saya fikir kami telah melakukannya bukan dengan cara yang seharusnya dan anda telah belajar dari semua itu dan meneruskan kehidupan,” menurut beliau yang dipetik sebagai berkata oleh Television Jamaica.

“Ia satu pengalaman yang baik. Saya benar-benar gembira untuk berada dalam sebuah pasukan dan adalah jauh berbeza dari trek dan padang (olahraga) dan menarik ketika ia berlaku.

“Kehidupan sukan sudah berakhir, jadi sekarang saya beralih ke bidang perniagaan, saya mempunyai banyak perancangan, seperti yang saya katakan tadi, saya cuba menjadi seorang ahli perniagaan sekarang.”

Bolt bercakap ketika beliau menyerahkan cek bernilai 1 juta dolar untuk membantu membiayai pasukan Jamaica ke Sukan Olimpik Khas di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada bulan Mac.

Juara Sukan Olimpik di Beijing, London dan Rio de Janeiro itu juga berkata beliau bimbang dengan kegagalan generasi baharu pelari pecut Jamaica ekoran persaraan beliau pada 2017.

Bolt mempersoalkan sekiranya atlet muda di Jamaica diberikan kontrak lumayan terlalu awal.

“Saya fikir ramai atlet sekarang mengharungi kehidupan lebih mudah,” kata beliau.

“Apabila kami berusaha, ia adalah sukar. Kami tidak mendapat kontrak lumayan apabila meninggalkan sekolah.

“Ramai atlet tidak lagi mempunyai motivasi untuk berusaha lebih bagus. Apabila mereka tamat persekolahan dan mendapat kontrak lumayan, mereka sudah berasa gembira.”

Sumber: Utusan Borneo