WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

MEDAN CARI PELAPIS BADMINTON SARAWAK

Persatuan Badminton Sarawak (PBS) akan mengadakan Pertandingan Badminton Remaja Tertutup Sarawak 2019 bertempat di Dewan SBA


Back To Sports Updates

KUCHING: Persatuan Badminton Sarawak (PBS) akan mengadakan Pertandingan Badminton Remaja Tertutup Sarawak 2019 bertempat di Dewan SBA, Jalan Lapangan Terbang Kuching dari 24 hingga 27 Januari ini.

Setiausaha Kehormat PBS Abdul Hadi Datuk Kadir berkata, pertandingan itu dibahagi kepada kategori perseorangan dan beregu untuk bahagian lelaki dan wanita yang berumur 12, 14 dan 16 tahun ke bawah.

Menurutnya, tujuan pertandingan itu diadakan ialah untuk memilih pemain yang akan diserap ke dalam skuad badminton Sarawak bagi mewakili negeri ke Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Siri 1 dan 2.

“PBS berharap agar ramai pemain-pemain baharu akan mengambil bahagian dalam pertandingan pembuka tirai persatuan untuk tahun 2019 agar bilangan pemain pelapis negeri juga akan bertambah,” katanya.

Beliau menambah penganjuran pertandingan selama empat hari itu juga memberi peluang kepada pemain-pemain muda mengasah bakat dengan bersaing dengan pemain-pemain yang mungkin telah mewakili Sarawak sebelum ini.

Sesi mesyuarat untuk pengurus pengurus pasukan akan diadakan pada 23 Januari depan di Dewan SBA mulai jam 7 malam manakala kesemua perlawanan akhir akan berlangsung pada 27 Januari ini mulai jam 1.30 petang.

Sementara itu, pihak PBS akan mengadakan sesi perjumpaan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan termasuk agensi di bawah kementerian, Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak.

Ia bertujuan untuk memberi taklimat mengenai aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan oleh pihak persatuan selain daripada memohon sokongan dan bantuan kewangan terutama dalam rancangan pelaksanaan akademi badminton dengan kerjasama Persatuan Badminton Malaysia (PBM).

“Presiden kami iaitu Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain adalah seorang daripada Timbalan Presiden PBM dan beliau juga telah diberi tugas untuk memastikan pelaksanaan dan pembangunan akademi badminton yang memberi faedah kepada golongan remaja di Sarawak dan Sabah,” jelas Hadi yang juga Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Pihak kami telah merancang secara strategik dan kini sudah tiba masanya untuk melaksanakan kerana ianya dapat memantapkan lagi pembangunan mutu badminton di negeri Sarawak,” kata beliau.

Sumber: Utusan Borneo