WHAT'S NEXT

CATS 30

10.00am - 01.00pm

‘AWANG PERANCIS’ INTAI PELUANG ISI SLOT PEMAIN IMPORT NGAP SAYOT

Pemain pertahanan dari Perancis mengintai peluang untuk mengisi satu lagi kekosongan pemain import bagi pasukan Ngap Sayot musim ini


Back To Sports Updates

KUCHING: Pemain pertahanan dari Perancis mengintai peluang untuk mengisi satu lagi kekosongan pemain import bagi pasukan Ngap Sayot musim ini.

Ketua Jurulatihnya, Mohd Farhan Abdullah memberitahu bahawa pemain terbabit akan diuji dalam tiga perlawanan persahabatan di Semenanjung Malaysia yang akan bermula esok (Khamis).

“Pemain itu berasal dari Perancis dan beliau bermain di posisi pertahanan,” katanya namun enggan mendedahkan identiti penuh pemain tersebut.

Menurut Mohd Farhan, ada beberapa pemain yang menghubungi pihaknya (FAS) menyatakan minat untuk mencuba nasib bersama skuad Sarawak musim ini dan semua mereka akan diuji dalam perlawanan persahabatan nanti.

Ditemui pada sesi latihan di Stadium Negeri di sini semalam, Mohd Farhan berkata skuad Sarawak akan berlepas ke Semenanjung Malaysia petang ini (Rabu) untuk mengadakan tiga aksi pemanas badan di sana nanti.

Skuad Ngap Sayot dijadualkan menentang dua pasukan Liga Premier iaitu Selangor United di Wisma FAM pada 17 Januari ini (Khamis) disusuli perlawanan menentang PDRM di Pulapol pada 19 Januari ini.

Sarawak akan menamatkan kempen pramusim menentang pasukan Liga Super, Melaka United pada 21 Januari nanti.

“Kita akan menggunakan ketiga-tiga perlawanan itu untuk menilai sejauh mana kemampuan pasukan baharu ini, justeru akan memperbaiki segala kelemahan dan kepincangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Farhan berharap gandingan semula jentera serangan, Muamer Salibasic dan Bobby Gonzales dapat membantu Sarawak seperti dilakukan mereka pada 2013.

“Semua tahu kedua-dua pemain penyerang itu semakin berusia namun saya masih percaya sentuhan mereka dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk pasukan Sarawak musim ini,” jelasnya.

Sarawak akan memulakan kempen Liga Premier 2019 menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 2 Februari depan.

Sumber: Utusan Borneo