WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

KIM SWEE LEGA DUA PEGAWAI ISN DIBENAR KE BANGKOK

Datuk Ong Kim Swee akhirnya mampu tersenyum selepas dua pegawai Institut Sukan Negara (ISN) akhirnya dilepaskan


Back To Sports Updates

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee akhirnya mampu tersenyum selepas dua pegawai Institut Sukan Negara (ISN) akhirnya dilepaskan untuk mengikuti tiga siri aksi persahabatan di Bangkok bermula Ahad ini.

Pengendali berusia 48 tahun itu berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai pelepasan penganalisa prestasi, Ahmad Hilmi Abdul Latif dan pakar nutrisi, Norazmi Ramly itu pada lewat malam Selasa.

Kim Swee, bagaimanapun, berkata pelepasan itu setakat ini hanya bagi siri aksi persahabatan namun tidak bagi persediaan menghadapi Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 22 Tahun (B-22) 2019 bulan depan dan Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 pada Mac depan.

"Lewat malam semalam (Selasa) saya terima SMS dari pegawai ISN mengatakan mereka (dua pegawai) dilepaskan untuk program di Bangkok sahaja, tetapi Piala AFF dan kelayakan AFC B-23 mereka tidak dilepaskan kerana ISN sedang melalui proses perubahan.

"Tetapi saya masih lagi menunggu waktu sesuai untuk bertemu pegawai atasan ISN tersebut di mana saya berharap dua pegawai itu dapat dilepaskan untuk kejohanan piala AFF dan paling penting kelayakan kejuaraan AFC," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-23 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, sebuah portal sukan tempatan melaporkan Kim Swee berang selepas dua pegawai ISN yang sebelum ini sentiasa bersama beliau sejak 2009 tidak diberikan 'lampu hijau' untuk terus bersamanya.

Sementara itu, Kim Swee memaklumkan hanya 17 daripada 26 pemain yang disenaraikan hadir melaporkan diri pada hari pertama sesi latihan manakala tujuh lagi akan melapor esok sementara dua pemain lagi hanya akan menyertai pasukan di Bangkok.

Menurut beliau, hanya dua pemain sahaja dilaporkan tidak cergas untuk mengikuti sesi latihan pertama iaitu Muhammad Izzan Syahmi Mustapa dari Terengganu yang mengalami demam manakala Ariff Ar-Rasyid Ariffin bergelut dengan kecederaan betis kanan.

"Hanya enam dari Kelantan dan seorang dari Kedah akan melaporkan diri esok kerana akan beraksi dalam perlawanan persahabatan bersama kelab mereka manakala dua lagi iaitu R.Kogileswaran dan Mohd Faizal Abdul Halim akan bersama di Bangkok memandangkan kini mereka berada di sana bersama Pahang," tambahnya.

Skuad B-23 negara akan menguji kekuatan menentang MIFA pada Sabtu sebelum berlepas ke Bangkok, Ahad ini.

Setibanya di Bangkok, Malaysia akan berdepan Bangkok Class FC pada Isnin depan diikuti aksi menentang Army United FC (16 Jan) sebelum melengkapkan siri perlawanan persahabatan menentang Ayuthaya United FC pada 18 Jan.

Sumber: BERNAMA