WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

LIVERPOOL MASIH DI PUNCAK LIGA SELEPAS HARI KRISMAS

Liverpool berada di puncak liga dan masih belum tewas selepas 19 perlawanan Liga Perdana Inggeris


Back To Sports Updates

Dua kali Liverpool gagal merangkul gelaran juara walaupun berjaya menduduki puncak liga pada Hari Krismas.

Semua pasukan yang berada di puncak pada Krismas sejak musim 2008/2009 muncul juara, kecuali Liverpool.

Apakah Liverpool akan mengalami nasib yang sama di bawah pengurus pasukan dari Jerman, Jurgen Klopp.

Musim ini, Liverpool berjaya menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris sekali lagi menuju ke Hari Krismas, selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 pada 22 Disember.

Kejayaan membelasah Newcastle United 4-0 di Anfield pada Boxing Day (26 Disember) mengukuhkan lagi pendahuluan the Reds yang masih belum tewas dalam liga.

Liverpool di takhta dengan enam mata di hadapan pencabar terdekat, Tottenham Hotspur dan tujuh mata di depan juara bertahan Manchester City di tempat ketiga.

 

Kedudukan Liga Perdana Inggeris

 

City mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas ditundukkan Crystal Palace 3-2 di halaman sendiri pada 22 Disember sebelum kalah kepada Leicester City 2-1 pada Boxing Day.

Tottenham pula terus mendaki carta liga dengan dua kemenangan besar berturut-turut untuk memintas CIty yang sebelum ini menduduki tempat kedua.

Selepas ini, Liverpool akan berdepan Arsenal di Anfield pada 30 Disember pukul 1:30 pagi (waktu Malaysia), sebelum bertandang ke Stadium Etihad untuk bertemu juara bertahan, Manchester City pada 4 Januari jam 4 pagi (waktu Malaysia).

Dua perlawanan ini amat penting untuk memastikan keyakinan pasukan terus kekal, lebih-lebih lagi berjaya melebarkan pendahuluan ke atas City, dengan 10 mata dan kekal sembilan mata di depan Tottenham Hotspur.

Cerita yang hampir sama sudah berlaku sebanyak dua kali.

Dua pengurus sudah gagal dapat usaha untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga utama Inggeris iaitu Rafael Benitez pada musim 2008/09 dan Brendan Rodgers pada musim 2013/14.

Musim 2008/2009

Pada musim 2008/09, Liverpool berada di puncak liga dengan empat mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester United menuju ke tahun 2009, selepas menewaskan Bolton Wanderers 3-0 di Anfield pada Boxing Day dan juga kemenangan 5-1 ke atas Newcastle United dua hari kemudian.

Kejayaan itu disusuli dengan berita buruk kapten pasukan, Steven Gerrard ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kelab malam pada 29 Disember 2008.

Bermula Januari 2009, Liverpool mula kehilangan mata dalam liga apabila seri 0-0 dengan Stoke City,  Everton 1-1 dan mencatat keputusan yang sama, 1-1 menentang Wigan.

Liverpool berjaya bangkit dengan kemenangan 2-0 ke atas Chelsea namun gagal mengejar pendahulu, Manchester United yang berjaya menyamai rekod the Reds dengan merangkul gelaran liga utama Inggeris ke-18 buat kelab itu.

Musim 2013/2014 

Pada musim 2013/14, Liverpool kehilangan gelaran tersebut selepas kalah dua perlawanan berturut-turut pada Boxing Day kepada Manchester City dan kemudian kepada Chelsea, tiga hari kemudian.

Liverpool berjaya mempamerkan persembahan yang meyakinkan dengan mencatat 11 kemenangan berturut-turut bermula dengan menewaskan Arsenal 5-1 di Anfield pada 8 Februari 2014 sehinggalah mengalahkan City pada 13 April dan Norwich City seminggu kemudian.

Namun peristiwa hitam Gerrard tergelincir di padang Stamford Bridge, sehingga menyebabkan Liverpool kalah 2-0 kepada Chelsea pada 27 April, dan seri 3-3 dengan Crystal Palace menyebabkan the Reds terpaksa menyerahkan gelaran musim tersebut kepada Manchester City.

Liverpool muncul naib juara dengan 84 mata, dua mata dibelakang City.

Adakah 'third time lucky' akan menjelma buat skuad the Reds kali ini? Jawapannya hanya akan diperoleh pada Mei 2019.

Sementara itu, penyokong Liverpool boleh menikmati persembahan mantap pasukan itu pada musim ini dan musut ketat, Manchester United tidak terlibat dalam perebutan liga musim ini.

Sumber: AWANI