WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

PENG SOON, LIU YING KEMBALI BERNAFAS

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China


Back To Sports Updates

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China selepas kemenangan pertama mereka, malam ini.

Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfworldtourfinals.bwfbadminton.com, pasangan nombor enam dunia itu yang juga merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro tangkas menundukkan pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-14, 21-12.

Bagaimanapun, mereka yang turun selaku pilihan ketiga/keempat kejohanan menggalas tugas berat, dimana mereka perlu menang kepada beregu pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino pada perlawanan akhir kumpulan B, esok, untuk mara ke saingan seterusnya.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai apabila impian mereka ke separuh akhir terkubur walaupun masih berbaki satu perlawanan lagi, selepas gagal mengutip sebarang mata kemenangan dalam dua perlawanan awal kumpulan A.

Mereka ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China dalam satu pertarungan selama setengah jam yang berakhir dengan keputusan 16-21, 12-21.

Soon Huat-Shevon akan melengkapkan saingan kumpulan A untuk bertemu Marcus Ellis-Lauren Smith dari England.

Mengikut format kejohanan, dua pasangan terbaik daripada setiap Kumpulan A dan B akan mara ke separuh akhir.

Kejohanan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Pusingan Akhir Siri Super BWF adalah saingan penamat musim ini dalam kalender BWF, dan lapan pemain terbaik dalam lima kategori berbeza akan memburu kejuaraan menawarkan hadiah wang tunai AS$1.5 juta (RM6.285 juta) itu.

Sumber: BERNAMA