WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

CHONG WEI KEMBALI BERAKSI...

Datuk Lee Chong Wei dijadualkan kembali menjalani latihan di gelanggang Akademi Badminton Malaysia (ABM) dalam masa dua minggu lagi


Back To Sports Updates

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dijadualkan kembali menjalani latihan di gelanggang Akademi Badminton Malaysia (ABM) dalam masa dua minggu lagi.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang turut berkongsi pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik tersebut berada dalam keadaan baik.

"Saya difahamkan Chong Wei ada berjumpa jurulatihnya, Hendrawan dan menyatakan hasratnya untuk kembali ke gelanggang secepat mungkin, namun beliau perlu mendapat kebenaran daripada doktornya terlebih dahulu.

"Buat masa  sekarang, Chong Wei hanya melakukan latihan fizikal  dan ada juga menjenguk pemain lain ketika sesi latihan. Bagi BAM, kita mahu biar beliau melalui proses pemulihan terlebih dahulu seperti saranan doktor," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bas oleh Bank Rakyat kepada BAM di Menara Bank Rakyat di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata, secara peribadi beliau percaya dan yakin pemain kelahiran Bagan Serai, Pulau Pinang itu dapat  bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang dijadualkan bermula Mei depan.

Sebelum ini, Chong Wei dilaporkan mengesan penyakitnya selepas kembali daripada Terbuka Indonesia dan melakukan pemeriksaan kesihatan di dua hospital pakar di ibu negara.

Doktor mengesahkan beliau menghidap kanser hidung tahap awal pada tahun ini dan dinasihatkan untuk ke Taiwan bagi mendapatkan pandangan kedua serta rawatan.

Beliau kembali ke Malaysia pada Oktober lalu selepas menjalani rawatan di Taiwan selama hampir tiga bulan dan pada November lepas, pemain berusia 36 tahun itu mengesahkan beliau kini bebas daripada kanser hidung.

Sumber: Bernama