WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

SARAWAK KUASA RENANG PARA SUKMA PERAK 2018

Sarawak mempamerkan aksi cemerlang dalam acara renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Tuanku Zara


Back To Sports Updates

Atlet Sarawak mempamerkan aksi cemerlang dalam acara renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Tuanku Zara di sini, sekali gus menjuarai keseluruhan acara renang pada Para Sukma Perak 2018 di sini yang melabuhkan tirai semalam.

Dalam acara itu, Sarawak berjaya mengumpul 18 pingat emas, 23 perak dan tujuh gangsa manakala Pulau Pinang menduduki tempat kedua dengan tujuh emas, enam perak dan empat gangsa sementara tempat ketiga milik kontinjen Sabah dengan enam emas, tiga perak dan empat gangsa.

Dalam acara renang hari ini, Sarawak berjaya meraih tujuh daripada 17 pingat emas yang ditawarkan dengan Rusdianto Rusmadi menyumbang emas pertama acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki 1M SM7-SM8 (SM5-SM6) (cacat anggota).

Beliau mencatatkan masa tiga minit 31.63 saat (s) menewaskan dua rakan sepasukan, David Wangyu Kulek yang memperoleh perak dengan catatan 3:37.10 s manakala gangsa diraih Muhd Nur Syaiful Zulkafli dengan catatan 3:48.96.

Bagi acara 50m Gaya Bebas Lelaki S13 (cacat penglihatan), atlet Sarawak, Stanley Jeranding menyumbang emas kedua selepas merekod 32:15s sementara abangnya Donny hanya berpuas hati meraih perak dengan 32.83s manakala gangsa juga milik Sarawak, Mohd Khairullah Nasrullah Pragash dengan 47.44s.

Pingat emas ketiga disumbang oleh David Wangyu Kulek dengan catatan 33.07s dalam acara 50m Gaya Bebas Lelaki S7-S8 manakala emas keempat disumbang Ardiles Benson selepas merekod 48.48s menerusi acara 50m Gaya Bebas Lelaki S6.

Muhd Nur Syaiful Zulkafli menyumbang emas kelima untuk Sarawak dengan catatan 35.41s dalam acara 50m Gaya Bebas Lelaki S4-S5 (cacat anggota).

Pingat emas keenam pula disumbang Fraidden Dawan dengan catatan 1:08.84s dalam acara 100m Kuak Kupu-kupu Lelaki S10 (S9) (cacat anggota) manakala pingat emas ketujuh diraih menerusi acara 4x100m rampaian lelaki 34 pts.

Ketika ditemui pemberita, Jurulatih Para Renang Sarawak, Sarini Kedri berkata Sarawak menepati ramalan untuk menjuari acara renang keseluruhan selepas mengetepikan 10 negeri lain pada Para Sukma 2018.

“Kita memang jangka dari awal pasukan Sarawak akan menguasai acara renang, walaupun banyak cabaran yang kita perlu tempuhi dan berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan oleh semua atlet sama ada yang lama atau baharu,” katanya.

Sementara itu, Rusdianto, 25, berkata penyertaan pertamanya dalam temasya kali ini membawa tuah baginya apabila berjaya menyumbang emas buat kontinjen Sarawak.

Perenang para negara, Muhd Nur Syaiful Zulkafli, 23, pula berkata walaupun dia ditewaskan oleh Rusdianto dan David, namun beliau berbangga dengan prestasi dua rakannya itu apabila berjaya menyumbang pingat untuk negeri bumi kenyalang itu.

Sumber: Sinar Harian