WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

SUKAN TIADA DALAM SENARAI OLIMPIK TIDAK AKAN DIPINGGIR - SYED SADDIQ

Syed Saddiq mencadangkan satu pengauditan khas bagi memastikan peruntukan RM100 juta yang diberikan kepada sukan negara


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan memberi jaminan sukan tidak termasuk dalam senarai Sukan Olimpik tidak akan dipinggirkan menerusi Belanjawan 2019 yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan sukan seperti skuasy dan tenpin boling tetap akan diberikan perhatian oleh pihaknya walaupun sukan berkenaan tidak disenaraikan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Seperti saya tekankan dalam ucapan saya tadi, sukan yang tidak berada dalam senarai Olimpik tidak akan dianaktirikan dan kita tetap akan bergerak ke hadapan bersama," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Bengkel Penetapan Program Latihan 2019, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mencadangkan satu pengauditan khas bagi memastikan peruntukan RM100 juta yang diberikan kepada sukan negara digunakan sebaiknya oleh pihak terlibat.

"Kita tidak boleh ambil sambil lewa selepas menerima teguran daripada Kementerian Kewangan (sebelum ini), dan kita perlu lebih fokus supaya tidak berlaku pembaziran," tegasnya.

Terdahulu dalam ucapan penutupannya, Syed Saddiq mengingatkan wakil persatuan sukan kebangsaan untuk terus memantau prestasi atlet di bawah seliaan masing-masing bagi memastikan mereka mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan.

"Melalui bengkel ini semua keperluan latihan akan diambil kira. Pihak persatuan perlu menetapkan keperluan sebelum Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) membuat anggaran peruntukan yang bakal disalurkan kepada pihak persatuan sukan kebangsaan," tegasnya.

Bengkel berkenaan yang berlangsung sejak semalam dihadiri wakil daripada 26 persatuan sukan kebangsaan, selain wakil MSN, ISN dan Majlis Olimpik Malaysia bertujuan memastikan program latihan atlet yang dirancang pada 2019 dapat dilaksanakan secara tersusun.

Sumber: BERNAMA