• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

MOTOGP: LITAR KERING PILIHAN HAFIZH DI SEPANG

Sejujurnya saya harapkan cuaca baik serta trek yang kering sebab saya tidak ada pengalaman beraksi di litar basah


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengharapkan keadaan litar yang kering di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada perlumbaan MotoGP Malaysia 2018 Ahad ini.

Hafizh, 24, yang beraksi bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 berkata trek yang basah akan membawa kesukaran buatnya memandangkan beliau belum pernah berlumba dalam keadaan hujan sejak beralih ke Kelas Perdana.

"Sejujurnya saya harapkan cuaca baik serta trek yang kering sebab saya tidak ada pengalaman beraksi di litar basah," katanya ketika ditemui pemberita pada pra-acara sempena perlumbaan MotoGP Malaysia di Jalan Ampang di sini, pada Rabu.

"Cuma saya perlu lebih konsisten di pertengahan perlumbaan untuk raih keputusan yang lebih baik supaya apa yang terjadi di MotoGP Australia tidak berlaku di Sepang," tambahnya.

Hafizh yang menyasarkan untuk muncul pelumba rookie terbaik musim ini mengakui sedikit tertekan, namun beraksi di laman sendiri sambil disaksikan puluhan ribu penyokong tempatan memberinya satu semangat serta motivasi terbaik.

"Tekanan itu pasti ada tetapi saya sebenarnya lebih bersemangat untuk berjuang di tempat sendiri kerana ramai rakyat Malaysia yang akan turun memberikan sokongan. Saya tidak sabar untuk berikan satu persembahan terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Hafizh percaya rakan sepasukannya sudah bersedia memberikan komitmen 100 peratus dalam membantunya muncul pelumba rookie terbaik.

"Saya tak berani nak janji akan muncul pelumba rookie terbaik tetapi saya yakin dengan diri saya dan pasukan yang kami mampu untuk berikan saingan sengit kepada semua pasukan," katanya.

Hafizh yang diberi jolokan 'El Pescao' kini mengumpul 34 mata untuk menduduki tempat ke-18 selepas mengharungi 17 perlumbaan dan ketinggalan 12 mata di belakang pelumba Honda, Franco Morbidelli bagi merebut gelaran pelumba rookie terbaik musim 2018.

Sumber: BERNAMA