WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

HUBUNGAN KHAIRY DENGAN ATLET PARALIMPIK MASIH RAPAT

Khairy mengucapkan tahniah terhadap kejayaan kontinjen paralimpik negara yang berjaya meraih 17 pingat emas pada Sukan Para Asia 2018


Back To Sports Updates

SEPANG: Walaupun tidak lagi bergelar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui beliau masih mengambil berat mengenai perkembangan semasa atlet paralimpik negara.

Beliau menjelaskan hubungannya dengat atlet paralimpik negara adalah rapat sejak menyandang jawatan berkenaan di bawah kepimpinan kerajaan terdahulu.

"Sepanjang menjadi menteri, saya banyak terlibat dengan mereka (atlet paralimpik) dan telah bersama-sama dengan mereka sejak muda lagi.

"Jadi, oleh kerana saya tak dapat pergi ke (Sukan Para Asia) di Jakarta baru-baru ini, saya ambil kesempatan hari ini untuk beri penghormatan kepada mereka di sini," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menyambut kepulangan kumpulan terakhir atlet paralimpik negara, di sini, malam tadi.

Selain Khairy, ketibaan atlet paralimpik turut disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, serta pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan ahli keluarga atlet paralimpik masing-masing.

Pada masa sama, Khairy, yang merupakan anggota Parlimen Rembau, turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap kejayaan kontinjen paralimpik negara yang berjaya meraih 17 pingat emas pada Sukan Para Asia 2018.

"Tahniah kepada kontinjen para negara kerana telah mencatat dan mencapai prestasi terbaik negara dalam sejarah sukan para Asia.

"Ini adalah satu kejayaan yang luar biasa dan kejayaan ini menandakan sukan para negara semakin meningkat dari segi prestasi dan pencapaiannya sekali gus memberi petanda baik untuk ke Sukan Paralimpik 2020 yang akan berlangsung di Tokyo nanti," jelas Khairy.

Malaysia menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 di kedudukan kelapan dengan meraih 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa, sekali gus mengatasi pencapaian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dengan kutipan 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa.

Sumber: BERNAMA