WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

KECOH DI UFC 229: 'BUKAN KHABIB SAJA KENA TINDAKAN, MCGREGOR PUN KENA'

Kedua-dua Khabib dan McGregor dilaporkan akan menghadapi penggantungan dan denda dari suruhanjaya Nevada


Back To Sports Updates

Juara lightweight UFC dunia, Khabib Nurmagomedov bukanlah satu-satunya individu yang akan dikenakan tindakan disiplin susulan insiden kekecohan pada kejohanan UFC 229, di Las Vegas, Sabtu lalu.

Menurut MMA Fighting, bintang seni beladiri campuran (MMA) Conor McGregor juga bakal berdepan tindakan oleh Suruhanjaya Atletik Nevada (NAC).

Pengerusi NAC Anthony Marnell memaklumkan, keputusan untuk memfailkan aduan terhadap McGregor dibuat setelah mengkaji semula pita rakaman insiden tersebut.

Marnell berkata suruhanjaya itu juga melihat langkah-langkah untuk mengambil tindakan terhadap yang menceroboh gelanggang.

Katanya, pendengaran disiplin itu dijangka diadakan tidak lewat dari akhir November untuk McGregor dan Khabib.

Dalam insiden Sabtu lalu, satu pergaduhan tercetus apabila Khabib tiba-tiba naik angin dan membaling 'mouthpiece' ke arah cornerman McGregor.

Dia kemudiannya melompat keluar dari gelanggang dan menyerang salah seorang jurulatih dari pasukan McGregor.

Keadaan menjadi kecoh di dalam dan di luar gelanggang, namun situasi itu mula reda selepas dikawal oleh para pegawai dan pihak sekuriti.

Polis berjaya meleraikan kedua-dua belah pihak, dan akhirnya mengiringi McGregor dan Khabib ke belakang pentas.

Kedua-dua Khabib dan McGregor dilaporkan akan menghadapi penggantungan dan denda dari suruhanjaya Nevada.

Presiden UFC, Dana White juga berkata bahawa Khabib boleh dilucutkan gelaran jika dia digantung untuk tempoh yang panjang.

McGregor pada April lalu pernah ditahan kerana sebuah bas yang dinaiki atlet UFC lain, termasuk Khabib.

Tindakan tersebut menyebabkan tingkap bas tersebut pecah dan beberapa atlet lain cedera.

McGregor, bagaimanapun, mengaku bersalah atas tindakannya itu.

Sumber: AWANI